Ekonomi

Meraque dan Pharmaniaga bekerjasama guna dron hantar ubat-ubatan ke kawasan terjejas banjir

MERAQUE Services Sdn Bhd (Meraque), sebuah syarikat teknologi dron Malaysia bekerjasama dengan syarikat farmaseutikal tempatan, Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) untuk menghantar ubat-ubatan kritikal kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh Kuala Langat menggunakan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV).

Banjir besar yang melanda negara akibat hujan lebat dan air pasang baru-baru ini menyebabkan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal, tidak dapat menggunakan jalan raya serta tiada akses untuk mendapatkan rawatan di hospital atau pusat kesihatan yang turut ditenggelami air.

Keadaan tersebut menyebabkan ramai penduduk terkandas tanpa akses untuk mendapatkan barangan keperluan dan juga perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Sehubungan itu, pada 22 Disember lepas, diketuai oleh pasukan juruterbang Meraque, perkhidmatan empat dron digunakan selama tiga hari bagi melakukan kerja-kerja menghantar bekalan perubatan kritikal oleh Pharmaniaga kepada lebih 30 buah rumah di sekitar Bandar Seri Ehsan, Banting, Selangor.

Dron-dron tersebut diterbangkan sehingga kira-kira 8.6 kilometer (bersamaan lebih 25 kilometer (km) jika menggunakan jalan sebenar) dan setiap dron mempunyai kemampuan membawa muatan seberat 5 kilogram dan bergerak sejauh 20km.

Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Md Razalee Ismail berkata: “Apabila banjir berlaku, kami telah dihubungi oleh agensi kerajaan yang menyelaraskan kerja-kerja bantuan dan kami terus menyertai usaha tersebut. Kami kemudiannya mendapatkan bantuan rakan kerjasama Pharmaniaga yang turut mengerahkan pasukan mereka untuk bersama-sama kami dalam projek murni ini.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkuasa yang berkaitan terutamanya Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kerana memberikan kelulusan dan membantu memastikan operasi penggunaan dron dijalankan dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama daripada CAAM dan APM sangat penting kepada Meraque dan Pharmaniaga bagi memastikan operasi perkhidmatan UAV yang dilaksanakan di kawasan banjir tersebut berjalan dengan lancar, selamat dan mematuhi segala peraturan teknikal.

“Kejayaan penggunaan dron dan penghantaran ubat-ubatan tersebut membuktikan kemampuan konsep penggunaan dron dalam penghantaran perubatan gred farmaseutikal. Walaupun dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, cabaran geografi dan ruang pendaratan yang terhad, operasi ini terbukti berjaya.

“Kaedah ini lebih berkesan dari segi kos dan masa berbanding dengan cara penghantaran barangan kecemasan secara tradisional – tanpa menjejaskan keselamatan, keberkesanan dan kualiti ubat-ubatan yang dikekalkan spesifikasi suhu produk.

“Penggunaan dron untuk penghantaran perubatan semakin diterima secara meluas di seluruh dunia dan ia telah merubah landskap perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan membolehkan penghantaran ubat-ubatan kritikal dilakukan dengan lebih pantas dalam usaha menyelamatkan nyawa manusia.

“Di Malaysia, dron bukan sahaja boleh digunakan dalam situasi kecemasan, tetapi juga boleh digunakan untuk menjadi medium penghantaran vaksin dan ubat-ubatan ke kawasan terpencil dengan lebih cepat,” tambah Md Razalee.

Sementara itu, jurucakap APM, Lt Kol (PA) Lokman Hakim Abdul Rahman berkata, alam operasi tersebut, pasukan APM telah dikerahkan untuk menyelaras dan memastikan semua penerbangan dan penghantaran dron yang membawa ubat-ubatan dilakukan mengikut Peraturan Penerbangan Awam 2016.

“Situasi seperti ini boleh menjadi rumit, ditambah pula dengan cabaran menerbangkan dron dalam keadaan cuaca yang buruk dan dilakukan di kawasan yang tidak dipetakan.

“Bagaimanapun, kami gembira apabila operasi ini berjaya dan ramai keluarga menerima ubat-ubatan yang diperlukan. Ini telah membuktikan bahawa teknologi mobiliti udara bandar boleh digunakan untuk menyampaikan bantuan perubatan kepada mangsa banjir yang boleh menyelamatkan nyawa. Pasukan kami ditempatkan di kawasan penghantaran untuk menerima bekalan perubatan daripada dron,” katanya.

Selepas ubat-ubatan diterima dan dibawa kepada lokasi sasaran, kakitangan perubatan yang berada di kawasan tersebut akan memastikan ia diagihkan dengan selamat kepada penduduk yang berada di pusat pemindahan banjir. Bekalan perubatan tersebut dibekalkan oleh kakitangan Pharmaniaga.

Meraque yang membekalkan teknologi dron dalam operasi tersebut merupakan sebuah syarikat teknologi tempatan yang mengambil bahagian dalam inisiatif Sandbox  Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Syarikat tersebut menggunakan bakat-bakat tempatan dalam membina penyelesaian Penyemburan Dron Hibrid untuk sektor pertanian dan penyelesaian perisian perusahaan mengikut pesanan serta perkhidmatan tempahan untuk pelanggan seperti Sime Darby Plantation, DBKL, Boustead Holdings Berhad dan Pharmaniaga.

(Visited 340 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button