Nasional

Kontrak, AP, lesen yang dijual kepada pihak ketiga akan ditarik balik – PM

PUTRAJAYA, 30 Jan — Kerajaan akan menarik balik peluang-peluang yang disediakan kerajaan seperti kontrak, permit import (AP) dan lesen yang dijual kepada pihak ketiga bagi memastikan ia benar-benar digunakan secara tersusun dan tertib, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata di bawah Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada 1970 dahulu, banyak peluang diwujudkan kepada mereka yang berpendapatan rendah untuk meraih sebahagian daripada kekayaan negara, namun ada yang menggunakannya sebagai jalan mudah untuk meraih keuntungan.

Menurutnya ia adalah antara perkara yang menghalang kepada kejayaan dasar-dasar negara.

“Apabila mereka menerima kontrak umpamanya, mereka jual. Ada yang dapat AP atau lain-lain bantuan daripada kerajaan, mereka mencari jalan mudah dengan menjual peluang ini kepada pihak lain untuk mendapat keuntungan lebih awal.

“Akhirnya apabila wang yang mereka dapat itu telah habis dibelanjakan, mereka terus miskin seperti dahulu,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakan Strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata golongan berpendapatan rendah perlu menyambut peluang-peluang disediakan kerajaan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bagi mengurangkan jarak perbezaan pendapatan antara bandar dan luar bandar.

Beliau menegaskan walaupun kerajaan mewujudkan pelbagai cara untuk memperbaiki kedudukan kewangan mereka, namun jika mereka tidak sanggup menyambut peluang itu dan bekerja keras, maka peluang itu tidak akan mendatangkan hasil.

“Kita dapati ramai daripada mereka yang sudah terima peluang-peluang ini dan mereka berjaya. Tetapi ada ramai juga yang tidak mengambil peluang ini dan menggunakannya untuk menebus maruah mereka dan juga untuk meraih kekayaan yang terdapat dalam negara kita ini.

“Inilah masalah kita hadapi dan untuk ini kita perlu jelaskan kepada semua pihak bahawa tidak ada pemulihan tanpa usaha. Segala peluang, tunjuk ajar yang diberi kalau tidak diterima, tidak digunakan, maka sudah tentu kita tak dapat atasi masalah kemiskinan di luar bandar,” katanya.

Dr Mahathir turut menarik perhatian mengenai kemajuan teknologi seperti mesin dan medium jualan dalam talian, di mana pengusaha kecil di luar bandar mampu mengembangkan pasaran mereka jika peluang itu digunakan dengan sebaik-baiknya.

“Tidak seperti dahulu, pasaran terlalu kecil. Ini adalah pendekatan baru dalam cara memasarkan produk. Kalau dahulu kita tak dapat jual selain daripada di kampung kita, hari ini kita dapat jual kepada bandar dan kepada seluruh dunia pun,” katanya.

“Kesanggupan untuk menggunakan peluang-peluang yang diwujudkan, dapat mengurangkan perbezaan pendapatan antara bandar dan luar bandar dan dengan itu hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju pada 2030 akan tercapai,” tambahnya.

Pada majlis yang turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun itu, sebanyak RM11.4 juta disumbangkan oleh rakan-rakan strategik KPLB terdiri daripada badan-badan korporat dan syarikat berkaitan kerajaan untuk program-program di bawah kementerian berkenaan.

— BERNAMA

(Visited 248 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button