Hiburan

Konsert U.K’S Reunion 25 Tahun khas buat tulang belakang U.K’s

TIDAK berani janjikan intan permata namun kumpulan U.K’s sudah membuat persiapan penuh termasuk latihan vokal untuk konsert U.K’S Reunion 25 Tahun yang bakal tiba.

Mohd Azmir Muhammad Yusuf atau lebih dikenali sebagai Amir selaku vokalis berkata dengan persediaan yang dilakukan beliau dan kumpulan, mereka sedia untuk memberikan persembahan terbaik dengan pemilihan lagu yang dibuat.

“Kalau diikutkan faktor usia kami semua sudah lebih 50an, tentu akan tertanya adakah boleh kami mengadakan konsert ini.

“Apa yang boleh saya cakap di sini, inshaAllah kami akan buktikan bahawa konsert U.K’s ini akan disajikan dengan lagu-lagu yang hebat, susunan muzik yang hebat dan juga penyampaian roh sesebuah lagu tu akan saya sampaikan dengan penuh penghayatan” katanya ketika ditemui selepas sidang media, petang tadi.

Persembahan vokalis Amir U.K’s

Tambahnya, konsert yang bakal diadakan di Istana Budaya pada 17 dan 18 Jun 2022 akan menjadi kenangan abadi kepada peminat dan mereka yang hadir serta kepada kumpulan U.K’s sendiri.


“Konsert 25 tahun ini yang paling penting adalah untuk penghargaan buat Saari Amri dan arwah Izhar yang menjadi tulang belakang untuk album U.K’s” katanya.

Selepas kejayaan konsert Minggu Ini di RTM, kumpulan U.K’s pada awalnya bercadang membuat satu program bagi dijual kepada stesen televisyen, namun hasil perbincangan bersama penganjur, Mac Training Sdn Bhd maka tercetuslah idea untuk mengadakan konsert besar ini.

Barisan penaja, komposer, pengarah muzik dan kumpulan U.K’s

“Jadi saya fikir ini merupakan satu peluang, sebelum ini tidak ada peluang yang diberikan kepada kumpulan U.K’s, saya faham mungkin sukar untuk mendapatkan penaja” jelasnya.

Konsert U.K’S Reunion 25 Tahun bakal mempersembahkan 25 lagu kesemuanya dan bakal menyanyikan semua lagu-lagu hit mereka seperti Kau Satu-Satunya, Seksa, Sebak, Tergamak Kau, Pahit Akan Manis Akhirnya, Siapa Yang Rampas Cintamu, Bila Diri Disayangi dan Disana Menanti Di Sini Menunggu. – SM

(Visited 299 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button