Hiburan

Konsert Tetap Jalan, 4U2C Gesa Henti Fitnah dan Tuntut Buang ‘Suara’ di Spotify

KUMPULAN hip hop legenda, 4U2C, tampil tegas menuntut permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam daripada beberapa individu yang didakwa menyebarkan kenyataan berunsur fitnah berhubung isu hak cipta lagu menjelang konsert sulung mereka selepas lebih dua dekad, WE 4U2C Live In Concert, yang dijadual berlangsung September ini.

Menurut peguam mereka, Tan Kong Hai, kenyataan yang dibuat oleh individu tertentu telah mengelirukan orang ramai dan memberi gambaran seolah-olah konsert tersebut tidak sah dari segi undang-undang.

“Kami telah mendapatkan lesen sah daripada MACP untuk mempersembahkan lagu-lagu tersebut secara langsung. Jika tiada permohonan maaf dibuat dalam masa 24 jam, tindakan undang-undang akan diambil,” tegas Tan dalam satu kenyataan rasmi.

Antara individu yang dipetik membuat dakwaan ialah komposer Man Senoi, Mama Rap, komposer Ajai, serta Timbalan Presiden Music Malaysia, Ayob Abdul Majid. Mereka mempersoalkan kelulusan konsert tersebut dan mendakwa 4U2C tidak mempunyai hak untuk mempersembahkan sebahagian besar lagu mereka.

AC Mizal, selaku vokalis utama, menyangkal dakwaan itu dan menegaskan kenyataan palsu yang tular telah menjejaskan momentum jualan tiket dan persepsi peminat.

“Bila seorang buat kenyataan palsu, kita boleh diam. Tapi bila ramai ikut sebar dan fitnah, kami perlu bersuara,” katanya.

AC turut mendedahkan bahawa punca perpecahan kumpulan 4U2C suatu ketika dahulu adalah Man Senoi sendiri, namun mereka memilih untuk mendiamkan isu tersebut demi menjaga nama baik semua pihak.

Lebih mengejutkan, AC turut meminta pihak berkuasa dan platform digital mengeluarkan lagu-lagu 4U2C daripada Spotify, memandangkan ia dimuat naik tanpa keizinan anggota asal kumpulan itu.

“Kalau mereka pertikai kami guna lagu lama di konsert, bagaimana pula suara kami boleh ada di Spotify tanpa keizinan?”

Beliau menjelaskan, berdasarkan Akta Hak Cipta 1987, penyanyi tidak perlu mendapatkan kebenaran pencipta untuk membuat persembahan secara langsung selagi ia tidak mengubah struktur lagu atau menerbitkannya semula dalam bentuk rakaman.

Konsert WE 4U2C Live In Concert dijangka menjadi simbolik penyatuan semula kumpulan ikonik era 90-an itu, namun kini berdepan cabaran besar apabila konflik dalaman dan pertikaian hak cipta kembali mencetus kontroversi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button