Nasional

Langkah-langkah pencegahan pembakaran terbuka dan jerebu rentas sempadan

NEGARA kini berhadapan dengan Monsun Barat Daya yang bermula pada 15 Mei 2023 dan dijangka berterusan sehingga September 2023.

Menteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, lazimnya pada tempoh ini, negara akan mengalami taburan hujan yang kurang dan cuaca yang lebih panas dan kering.

“Pada kebiasaannya, negara akan mula mengalami cuaca panas yang ketara sekitar bulan Ogos hingga September setiap tahun dan kejadian pembakaran terbuka berpotensi berlaku di kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti di kawasan hutan dan tanah gambut serta tapak pelupusan sampah.

“Negara telah bersiap siaga sejak bulan Mei 2023, di mana saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bil. 1 Tahun 2023 pada 26 Mei 2023,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mesyuarat ini bertujuan melaporkan status terkini keadaan cuaca dan tinjauan cuaca akan datang, status kualiti udara, merancang tindakan dan strategi bagi mencegah pembakaran terbuka serta jerebu setempat, di samping mengatur persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya insiden jerebu merentas sempadan.

“Mesyuarat ini dihadiri oleh kementerian, jabatan dan agensi berkaitan serta semua kerajaan negeri termasuk Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kesihatan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Sebagai inisiatif mencegah jerebu merentas sempadan, saya telah mengemukakan surat kepada syarikat perladangan Malaysia, anak-anak syarikat dan syarikat-syarikat berkaitan Malaysia yang beroperasi di Indonesia supaya memastikan langkah-langkah pencegahan pembakaran terbuka di kawasan ladang diambil sewajarnya bagi mengelak berlakunya kebakaran ladang dan hutan gambut yang menjadi punca utama insiden jerebu merentas sempadan di rantau ini.

“Di samping itu, usaha-usaha berkaitan juga akan diteruskan bersama Kementerian Luar Negeri melalui Pejabat-pejabat Perwakilan di Indonesia. Usaha-usaha ini juga akan dimaklumkan kepada rakan sejawat saya di Indonesia.

Katanya Nik Nazmi, RECC dan jabatan di bawah seliaan juga turut mengambil beberapa langkah proaktif seperti berikut:

  1. Pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) pada 2 April 2023 bagi pelaksanaan tindakan pencegahan, pemantauan, pemadaman dan penguatkuasaan dalam menangani pembakaran terbuka oleh kementerian, jabatan dan agensi terlibat;
  2. Pengaktifan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Prosedur Standard Operasi Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut kepada semua pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri dan agensi-agensi negeri terbabit pada 29 Mac 2023;
  3. Mempertingkatkan kekerapan dan kawasan rondaan serta pemantauan udara melalui dron di kawasan berisiko dan mudah terbakar seperti kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah oleh Pihak Berkuasa Negeri;
    iv. memperkasakan pemantauan komuniti melalui Program Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) bagi membantu memantau kes-kes pembakaran terbuka;
  4. Mempertingkatkan program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam dan program penyertaan komuniti sebagai tindakan pencegahan; dan
  5. Pemantauan berterusan status kualiti udara semasa melalui 65 stesen automatik JAS dan status cuaca semasa dan ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

MET Malaysia telah membangunkan Fire Danger Rating System (FDRS) bagi memantau kebakaran hutan dan tanah gambut. Sistem ini telah diguna pakai oleh semua negara ASEAN sejak tahun 2003. MET Malaysia juga telah melaksanakan penambahbaikan ke atas sistem ini dan penambahan elemen baharu iaitu ramalan kebakaran tujuh hari ke hadapan (7 days forecast) bagi memantau potensi berlakunya kebakaran dan intensitinya.

Semua negara ASEAN terus diseru untuk menggunakan sistem ini bagi membolehkan langkah-langkah pencegahan serta persediaan rapi dilaksanakan bagi mencegah jerebu merentas sempadan.

Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan membiarkan tanah atau premis dimasuki atau diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.

Jika disabit kesalahan menyebabkan pembakaran terbuka di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.

Mengikut rekod JAS bagi tempoh 1 Januari 2023 sehingga 28 Ogos 2023, sebanyak 57 kompaun telah dikeluarkan dan dua (2) kes dikenakan tindakan mahkamah di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Orang awam boleh melaporkan kes-kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727 dan https://eaduan.doe.gov.my serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999.

Orang awam juga boleh menyemak maklumat terkini status kualiti udara melalui laman portal JAS: www.doe.gov.my dan melalui aplikasi ‘MyIPU’ serta menyemak maklumat cuaca daripada MET Malaysia melalui aplikasi myCuaca. – SM

(Visited 158 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button