Hiburan

Konsert Desaku Mendunia Curi Tumpuan, Zahid Hamidi Seru Luas Potensi Orkestra Sekolah

KONSERT Desaku Mendunia yang berlangsung penuh warna-warni dan sarat dengan nilai seni budaya tempatan telah berjaya menarik perhatian lebih 2,000 pengunjung di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur selama dua malam penganjuran.

Persembahan oleh MAREMAF Wind Orchestra (MAWO) yang dianggotai seramai 59 orang pelajar MRSM Ulul Albab FELDA Trolak menjadi kemuncak acara apabila mereka mempersembahkan alunan muzik bertaraf antarabangsa dan diiringi oleh artis terkenal tanah air seperti Dato’ Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah, Yabang, Datuk Suhaimi Sulaiman dan ramai lagi.

Antara pelajar dari Felda Trokla memainkan muzik Orchestra semalam di Konsert Desaku Mendunia

Kumpulan MAWO yang telah menjalani latihan intensif di bawah bimbingan tenaga pengajar berpengalaman dijadualkan menyertai pertandingan orkestra di Prague, Republik Czech. Pertandingan tersebut menghimpunkan penyertaan dari 11 buah negara – menjadikan penglibatan MAWO sebagai satu pencapaian besar bukan sahaja buat MRSM Ulul Albab, tetapi juga buat FELDA secara keseluruhan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pelajar-pelajar ini bukan sahaja mewakili Malaysia, tetapi merupakan antara anak-anak terbaik generasi ketiga FELDA. Mereka adalah pelajar cemerlang MRSM yang menghafal al-Quran sekurang-kurangnya lima juzuk, sekali gus mencerminkan kejayaan model pendidikan holistik yang diterapkan.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir dalam acara konsert Desaku Medunia

“Konsert ini bukan sekadar pentas hiburan, tetapi membawa mesej besar – bahawa anak-anak FELDA mampu mendunia. Mereka mewakili FELDA, MARA, KKDW dan Malaysia. Saya juga mahu usaha ini diperluaskan ke sekolah-sekolah lain, supaya lebih ramai anak muda diberi peluang membina orkestra sendiri mengikut kemampuan dan sokongan yang akan terus kita salurkan.”

Dato’ Seri Zahid turut menyatakan hasrat agar orkestra dari MRSM Trolak ini tidak hanya terhad kepada alat muzik tiupan semata-mata, tetapi diperkembangkan kepada alatan muzik bertali seperti biola, demi memperluaskan lagi potensi anak-anak FELDA di pentas antarabangsa.

Dalam majlis sama, beliau turut menyempurnakan Pra-Pelancaran Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) yang akan berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur – simbol kerjasama strategik antara agensi kerajaan dalam memperkasa komuniti luar bandar secara menyeluruh.

FELDA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan Konsert Desaku Mendunia, dan menyeru seluruh warga FELDA serta rakyat Malaysia mendoakan kejayaan MAWO di Prague kelak – agar nama Malaysia terus harum di pentas dunia.

– TAMAT –

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button