Sukan

Olimpik Tokyo 2020: IOC komited cari penyelesaian luar biasa

JAWATANKUASA Olimpik Antarabangsa (IOC) komited dalam mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan impak negatif paling minima terhadap atlet, berikutan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.

Dengan Olimpik Tokyo 2020 yang tinggal 127 hari lagi, penularan virus itu tidak menunjukkan pengurangan di seluruh dunia kecuali di China, di mana tiada kes baharu dicatatkan semalam.

COVID-19 itu, telah menyebabkan banyak sesi kelayakan Olimpik ditangguhkan atau dibatalkan, sejak awal tahun, manakala latihan dan perancangan atlet terjejas dengan banyak negara kini dalam situasi sekatan pergerakan keluar masuk (lockdown) untuk memerangi virus tersebut.

Ramai atlet diseluruh dunia telah menyatakan kekecewaan mereka terhadap Jawatankuasa Penganjur Tokyo dan IOC, kerana tidak menangguhkan acara global itu yang dijadualkan dari 24 Julai hingga 9 Ogos.

Namun IOC masih mengekalkan keputusan mereka untuk menggalakkan atlet meneruskan persiapan dan berkata, situasi tersebut memerlukan penyelesaian luar biasa.

“Ini merupakan situasi luar biasa yang memerlukan penyelesaian luar biasa. IOC komited dalam mencari penyelesaian dengan impak negatif paling rendah kepada para altet, selain mengekalkan integriti kejohanan dan kesihatan atlet.

“Tiada satu penyelesaian yang ideal untuk situasi ini, dan ini sebabnya kami berharap pada tanggungjawab dan solidariti para atlet,” kata pasukan Perhubungan Media IOC kepada Bernama.

IOC pada Selasa berkata, ia akan membuat perubahan kepada sistem kelayakan Tokyo 2020, berdasarkan kepada cadangan daripada federasi sukan antarabangsa masing-masing, dengan sehingga kini hanya 57 peratus sahaja atlet telah melayakkan diri. – BERNAMA

(Visited 72 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button