AgamaNasionalNegeri

Kongsi susu atau ibu susuan: Fatwa Negeri Perlis selari dengan KKM

Majoriti ulama mentarjihkan lima kali susuan yang mengenyangkan

SUSU ibu adalah makanan pertama seorang bayi. Baik ibu atau mana-mana pihak yang terbabit, bab penyusuan amat dititikberatkan bagi memastikan setiap bayi yang lahir itu dalam keadaan sihat.

Bagaimanapun kadang kala timbul permasalahan yang membabitkan pihak hospital mahupun ibu berhubung isu penyusuan apabila bayi dilahirkan pra-matang, si ibu menghadapi masalah tidak mempunyai air susu yang cukup untuk disusukan bayinya dan sebagainya.

Bagi mencari jalan penyelesaian, Jabatan Mufti Negeri Perlis telah pun mengeluarkan fatwa berhubung hukum program perkongsian susu ibu di hospital.

USTAZ Tajul Urus menyerahkan fatwa hukum program perkongsian susu ibu di hospital kepada wakil Hospital Pakar KPJ di Jabatan Mufti Perlis.

Ini dirujuk kepada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-31/2017 pada 6 Ogos 2017 bersamaan 13 Zulkaedah 1438H yang telah meluluskan isu berkaitan.

Sehubungan itu, Timbalan Mufti Perlis, Ustaz Tajul Urus Abdul Halim mengadakan pertemuan dengan wakil dari Hospital Pakar KPJ Perlis di pejabatnya baru-baru ini bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai fatwa tersebut.

Dalam pertemuan itu, juga diadakan perbincangan bagi mendapatkan lebih kefahaman berhubung perkara ini dan juga penyerahan fatwa berkenaan untuk rujukan pihak hospital.

Ustaz Tajul Urus menjelaskan berhubung isu ini mengikut apa yang diputuskan dalam fatwa iaitu para ulama telah berbeza pendapat tentang beberapa perincian berkaitan hukum susuan (radha’ah).

“Majoriti (Jumhur) ulama berpendapat, penyusuan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung daripada payudara seorang ibu itu boleh mensabitkan hubungan mahram susuan,” katanya.

Di samping itu katanya, terdapat juga dalam kalangan ulama  yang mensyaratkan, susuan itu hendaklah secara langsung daripada payudara si ibu susuan di mana ini seperti pendapat al-Laith bin Saad, Ibn Hazm dan selain daripada mereka (nama-nama yang disebut).

Selain itu, katanya, pandangan ini juga yang ditarjihkan oleh al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, al-Syeikh Mustafa al-Zarqa dan lain-lain.

“Para ulama juga ramai yang menyebut bahawa percampuran susu berlainan ibu tidak mensabitkan hukum mahram,” ujarnya.

Tambah beliau, ada kalangan para ulama berkhilaf tentang jumlah bilangan susuan yang mensabitkan hukum berkenaan.

Ustaz Tajul Urus berkata, majoriti ulama telah mentarjihkan lima kali susuan yang mengenyangkan.

“Setelah berbincang pandangan-pandangan di atas dan mengambil kira keperluan dan realiti yang ada dalam memelihara nyawa bayi khususnya bayi pra-matang seperti yang telah dibentangkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berpendapat bahawa program perkongsian susu ibu yang dicadangkan oleh KKM adalah tidak bercanggah dengan hukum syarak,” jelas beliau.

Walau bagaimanapun, katanya, Jawatankuasa meminta supaya cara pelaksanaan program tersebut mengambil kira perkara-perkara berikut.

“Pertamanya, hendaklah mendapat persetujuan dari kedua-dua pihak (ibu susuan dan ibu anak susuan) kecuali dalam keadaan darurat,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya berlaku susuan sebanyak lima kali kenyang ke atas dari seseorang ibu susuan yang sama dengan rekod yang jelas maka kedua-dua pihak (ibu susuan dan anak susuan) hendaklah mengetahui antara satu sama lain bagi menjaga hukum-hakam yang berkaitan dengan mahram.

“Jawatankuasa juga ingin memaklumkan bahawa wujudnya keluasan pendapat dalam hal ini di mana ulama al-Laith bin Saad, Ibn Hazm, al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, al-Syeikh Mustafa al-Zarqa dan lain-lain mensyaratkan susuan itu mesti berlaku secara langsung daripada payudara ibu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, bagi yang berpegang dengan pendapat ini, dua perkara yang disebutkan di atas tidak menjadi syarat. – SM

(Visited 386 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button