Politik

Kongres PKR berakhir, hanya ada kem Anwar

KONGRES Nasional PKR melabuhkan tirainya semalam menyaksikan pasukan Rafizi Ramli mengungguli kebanyakan jawatan dalam Majlis Pimpinan peringkat Pemuda dan Pusat.

Sepanjang berlangsungnya Kongres sejak Jumaat lalu yang bermula dengan sayap Pemuda dan Wanita, nama Rafizi kerap kali disebut susulan kritikannya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga menimbulkan rasa kurang senang pemimpin terdekat presiden PKR.

Pada pembukaan kongres, Anwar menggesa seluruh akar umbi mengetepikan pertelingkahan dalam pemilihan lepas serta menumpukan usaha menghadapi PRU15. Malah katanya, beliau tidak akan menyerahkan watikah kepada mereka yang terus berkelahi.

Bagaimanapun, Rafizi dalam sidang media tidak lama kemudian secara terbuka berkata, berdasarkan tinjauan, populariti Anwar sebagai ketua pembangkang ketika ini mengalami kemerosotan.

Rafizi turut berkata sekiranya beliau menjadi Anwar, beliau akan menerima dapatan kajian berkenaan kerana ia memberi kesan langsung kepada Pakatan Harapan (PH), menjelang PRU15.

Kenyataan Rafizi menimbulkan rasa kurang senang Anwar yang menegurnya supaya tidak menggunakan kongres parti untuk memberi pandangan negatif berkaitan dirinya, sebaliknya teguran boleh dibuat secara dalaman.

Menerusi sesi perbahasan pada hari kedua kongres, 18 perwakilan membawa isu ekonomi, wanita, pendidikan dan anak muda yang memperlihatkan hampir 90% isi kandungannya mengusulkan supaya akar umbi memperkukuhkan parti terutamanya bagi menghadapi PRU15.

Malah, turut sering dilaungkan perwakilan, “hanya ada kem Anwar dalam PKR” – merujuk ahli PKR harus melupakan kempen pemilihan parti yang melibatkan pasukan Rafizi dan Saifuddin Nasution Ismail.

Hari terakhir kongres itu, ucapan sulung Rafizi sebagai timbalan presiden mencuri tumpuan umum apabila beliau menegaskan akan terus tegas dan lantang dalam membuat teguran walaupun menanggung risiko Anwar “kecil hati”.

Rafizi turut mengingatkan beliau bukan Azmin Ali yang mengkhianati parti selepas menabur pelbagai janji mengenai kesetiaan kepada Anwar dan PKR, sebaliknya, harapannya hanya mahu diadili atas usaha dan kerja yang dilakukan untuk PKR.

Mengakhiri ucapan penutup, Anwar menyifatkan kehadiran Rafizi dalam saf kepimpinan parti umpama memberikan “panadol” kepadanya.

Mengakui Rafizi sebagai seorang pemimpin yang ‘kontroversi’, Anwar berkata dia sangat mengenali bekas ahli Parlimen Pandan itu dan tahu akan kebolehannya.

“Kadang-kadang pening saya. Saya bisik dia tadi awal- awal, aku ni Rafizi, lama dah dengan kamu ni. Janganlah tambahkan pening aku.

“Rupa-rupanya dia datang bagi ucapan, dia bagi panadol, hilang pening saya,” kata Anwar.

Turut mendapat tumpuan umum, pengumuman dari bekas timbalan presiden Saifuddin memaklumkan parti itu menerima surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) bagi menjelaskan keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini.

Bekas pengarah komunikasi Fahmi Fadzil dan bekas Ketua Wanita Fuziah Salleh tampil menyelar tindakan ahli parti yang melaporkan kepada polis dan JPPM serta gesaan menyenarai hitam individu terbabit.

Kongres Nasional PKR Ke-16 dengan tema Menjulang Keadilan berlangsung selama tiga hari di IDCC Shah Alam dengan kehadiran penuh.

Ia selepas kongres itu ditangguh susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) tahun lepas yang dilaksanakan kerajaan bagi mencegah penularan wabak Covid-19. – FMT – SM

 

(Visited 296 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button