Politik

Konflik menteri, penjawat awam boleh dielak jika mereka profesional

SESEORANG yang dilantik sebagai menteri perlu maklum dan tahu tentang kuasa dan had kepada kuasa yang mereka miliki.

Sementara anggota perkhidmatan awam pula mesti tahu tugas utama mereka iaitu menterjemahkan dasar dan aspirasi Kerajaan dengan profesional.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pertentangan terbuka antara penjawat awam dengan menteri akan dapat dielakkan jika profesionalisme kedua-dua pihak berada pada tahap tertinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu berkata, sistem tatakelola Kerajaan yang terbaik adalah apabila perkhidmatan awam bebas dari politik.

Anggota perkhidmatan awam katanya, berfungsi melaksanakan dasar yang digubal oleh Eksekutif yang terdiri dari kalangan ahli politik yang mendapat mandat melalui pilihanraya.

Justeru beliau menegaskan, perkhidmatan awam yang bebas daripada pengaruh politik adalah sangat penting.

“Tanpa kebebasan, professionalisme perkhidmatan awam akan dikompromi. Namun pemisahan total perkhidmatan awam dari campur tangan politik memerlukan profesionalisme di kedua-dua pihak berada pada tahap paling tinggi.

“Menteri mesti maklum dan tahu tentang kuasa dan had kepada kuasanya. Perkhidmatan awam pula mesti tahu tugas utama mereka, iaitu menterjemahkan dasar dan aspirasi Kerajaan dengan professional dan setulusnya,” kata Mohamad.

Mohamad berkata demikian tanpa merujuk kepada mana-mana isu.

Bagaimanapun baru-baru ini terdapat pertentangan pendapat antara bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkaitan institusi kepolisan di negara ini.

Mohamad menegaskan, perkhidmatan awam tidak boleh lari daripada ‘pemeriksaan’ awam.

Ini kerana perkhidmatan awam merupakan sistem yang dibiayai oleh dana awam maka standard akauntabiliti kepada rakyat adalah semaksima mungkin.

Justeru, perlu ada pelbagai mekanisme bebas untuk menyiasat, menyemak dan mengemukakan pembaharuan kepada perkhidmatan awam dari masa ke semasa.

“Malaysia masih mempunyai ‘governance gap’ yang sangat ketara antara perkhidmatan awam jika dibandingkan dengan sektor swasta.

“Sektor swasta di Malaysia telah jauh ke hadapan dalam memperbaiki tatakelola korporat dan perniagaan mereka , melalui sistem kawalselia yang aktif dan ‘rigorous’.

“Ruang penambahbaikan sistem tatakelola Kerajaan masih sangat luas. Maka usaha kearah itu mesti segera digiatkan demi perkhidmatan awam yang bebas dan berkelas dunia,” kata Mohamad.-SM

 

(Visited 88 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button