Ekonomi

Had duti setem bakal rancakkan pasaran saham

KUALA LUMPUR: Sentimen perdagangan di Bursa Malaysia dijangka berubah lebih mantap berikutan pengembalian semula had duti setem bagi dagangan saham berkuat kuasa 1 Jan 2022.

Affin Hwang Capital berkata pengembalian semula had duti setem kepada RM1,000 mampu merangsang pasaran yang lebih rancak pada tahun 2022.

Firma itu berkata pengembalian semula had itu, walaupun pada paras yang lebih tinggi iaitu RM1,000, tetapi akan memberi manfaat kepada dagangan melebihi RM666,666.67.

“Berdasarkan contoh hipotesis perdagangan RM1 juta, duti setem yang dikenakan ialah RM1,000 berbanding RM1,500 dengan penghapusan kapita tersebut.

“Ini mewakili 50 peratus kos duti setem yang lebih rendah di bawah pengembalian semula, walaupun lima kali lebih tinggi berbanding had duti setem pada RM200 (sebelum cadangan Belanjawan 2022),” kata Affin Hwang.

Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan pada 30 Disember, had duti setem untuk dagangan saham akan dikembalikan pada RM1,000, manakala kadar 0.15 peratus dikekalkan.

“Keputusan MoF itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak (termasuk dalam industri broker saham) bagi memastikan pasaran saham tempatan kekal cergas dan dinamik ” kata Affin Hwang.

Sebelum ini, Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia (ASCM) dilaporkan telah melobi badan-badan kerajaan untuk mendapatkan semula had duti setem kerana kesan yang melemahkan perdagangan ekuiti.

“Reaksi negatif pelabur terbukti apabila nilai harian purata (ADV) jatuh kepada RM2.95 bilion pada November dan RM1.96 bilion pada Disember 2021 berbanding sembilan bulandalam 2021, ADV sebanyak RM4.01 bilion,” kata Affin Hwang.

Affin Hwang telah menaikkan unjuran pendapatan 2021/2022/2023 masing-masing sebanyak -3.2 peratus, 11.5 peratus dan 10.3 peratus.

“Kami menaik taraf Bursa Malaysia kepada ‘Hold‘ dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM6.70 seperti yang diramalkan,” katanya.

 

(Visited 209 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button