Ekonomi

Pemegang saham G Neptune lulus pelan penyusunan semula

KUALA LUMPUR 13 Sept. – Para pemegang saham tidak berkepentingan G Neptune Berhad (G Neptune) telah meluluskan cadangan pelan penyusunan syarikat semasa mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan hari ini.

Berikutan kelulusan itu, pemegang saham juga meluluskan untuk menukar nama Syarikat kepada Southern Score Builders Berhad, satu langkah yang diambil oleh syarikat untuk lebih mencerminkan identiti korporat baharu G Neptune pada masa hadapan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, G Neptune berkata, kelulusan pemegang saham itu menandakan peristiwa penting bagi cadangan pelan penyusunan G Neptune yang dijangka menangani status Nota Panduan 3 (GN3) syarikat serta mengembalikannya kepada kedudukan kewangan yang lebih kukuh serta keuntungan.

Selain daripada cadangan pengambilalihan dan cadangan pertukaran nama, pemegang saham juga meluluskan cadangan berikut yang merupakan sebahagian daripada cadangan pelan penyusunan iaitu
cadangan penyatuan setiap 10 saham G Neptune sedia ada menjadi satu saham,
cadangan penyelesaian hutang berjumlah RM3.1 juta kepada Pengarah Eksekutif G Neptune,
Chai Tham Poh, melalui terbitan 20.67 juta saham.

” Serta cadangan penempatan persendirian untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM108.6 juta melalui terbitan 543.05 juta saham kepada pelabur yang akan dikenal pasti kemudian dan
cadangan pengecualian daripada obligasi untuk melaksanakan tawaran pengambilalihan mandatori bagi baki saham G Neptune yang belum dimiliki oleh Super Advantage serta Tan Sri Datuk Seri Gan Yu Chai dan Gan Yee Hin,” kata G Neptune.

Super Advantage dipegang oleh Pemgarah Urusan Southern Score Sdn Bhd (SSSB) Tan Sri Gan Yu Chai, seorang veteran dalam industri pembinaan dan pembangunan hartanah dengan pengalaman lebih 30 tahun serta Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SSSB Gan Yee Hin.

Mengulas lanjut, bahagian penting daripada pelan penyusunan semula yang diluluskan adalah cadangan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam SSSB daripada Super Advantage Property Sdn Bhd (Super Advantage) untuk pertimbangan pembelian sebanyak RM252 juta dilaksanakan secara terbitan 1.68 bilion saham.

SSSB ialah syarikat perkhidmatan pengurusan pembinaan yang mencatatkan keuntungan bersih masing-masing sebanyak RM6.51 juta, RM19.20 juta dan RM35.18 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, 2020 dan 2021.

Manakala Super Advantage, sebagai vendor Southern Score, telah menyediakan jaminan keuntungan bersih terkumpul sebanyak RM80 juta dalam tempoh tiga tahun dari 2022 hingga 2024.

Yee Hin berkata, pihaknya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pemegang saham kerana meletakkan kepercayaan dan keyakinan mereka kepada mereka.

“Ini merupakan peristiwa penting ke arah penyiapan pelan penyusunan yang telah lama ditunggu-tunggu. Dengan suntikan Southern Score, kami percaya bahawa G Neptune akan berada dalam kedudukan kewangan dan keuntungan yang lebih kukuh, sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan.” katanya.

Beliau menambah, kelulusan pemegang saham yang diperoleh hari ini menandakan permulaan baharu untuk SSSB apabila pihaknya semakin hampir ke arah mendapatkan status penyenaraian melalui GNB.

“Kami berhasrat untuk memanfaatkan status penyenaraian kami untuk mengembangkan lagi perniagaan yang mana pemegang saham kami juga boleh mengambil bahagian. Kami menjangkakan pertumbuhan Southern Score akan didorong daripada pertumbuhan dalam sektor pembinaan di mana aktiviti pembinaan dijangka meningkat seiring dengan ekonomi pertumbuhan berikutan pembukaan semula ekonomi dan sempadan negara.” ujarnya.

(Visited 171 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button