Mahkamah

Ku Nan serah lebih RM1 juta untuk PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar – Saksi

Kes perbicaraan Tengku Adnan Tengku Mansor

KETUA UMNO Bahagian Simpang Renggam hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah menyerahkan wang tunai lebih RM1 juta kepadanya untuk aktiviti sukarelawan bagi membantu jentera Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016.

BERNAMA melaporkan, Datuk Zakaria Dullah, 51, sebagai berkata, beliau menerima wang berjumlah RM1,007,600 di Pejabat Setiausaha Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu memintanya menyediakan belanjawan membabitkan aktiviti yang dicadangkan bagi membantu kedua-dua PRK berkenaan.

“Selain wang RM1,007,600 itu, Datuk Seri (Tengku Adnan) juga memberi saya wang tunai RM40,000 secara berasingan sebagai perbelanjaan peribadi saya selaku koordinator bagi kedua-dua PRK tersebut. Datuk Seri memberi saya wang itu bagi memastikan saya tidak menggunakan wang daripada RM1,007,600 untuk perbelanjaan peribadi saya.

“Bayaran itu diberikan sendiri oleh Datuk Seri kerana beliau tidak mendapat bantuan kewangan daripada UMNO dan BN,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam Datuk Tan Hock Chuan pada prosiding membela diri Tengku Adnan terhadap pertuduhan menerima rasuah RM2 juta.

Usahawan yang menjadi saksi pembelaan keempat semasa membacakan penyataan saksinya berkata, bagi kedua-dua PRK berkenaan, sukarelawan muda membantu jentera BN dengan mengadakan tusyen, seminar, gotong-royong dan aktiviti sukan serta majlis keagamaan termasuk berbuka puasa dan sahur.

“Di Sungai Besar, terdapat 600 sukarelawan muda terlibat di 30 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan di Kuala Kangsar, terdapat 520 orang sukarelawan membabitkan 26 PDM,” katanya.

Saksi pembelaan terakhir itu turut bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim bahawa dokumen berkaitan perbelanjaan kedua-dua PRK itu tidak disimpan dan akan dilupuskan selepas sebulan pilihan raya.

Julia: Bagi kedua-dua PRK itu, berapa perbelanjaan sebenar yang dihabiskan? 

Zakaria: Biasanya belanja habis. Kalau kurang kita minta, kalau lebih kita simpan.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Julia bahawa sudah menjadi amalan parti UMNO tidak menyimpan apa-apa dokumen perbelanjaan bagi sesuatu pilihan raya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 11 September ini untuk mendengar hujahan lisan kedua-dua pihak selepas pembelaan menutup kes hari ini.

Pada 14 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, membela diri atas pertuduhan rasuah setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap kes tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Urusan Syarikat Aset Kayamas Sdn. Bhd., (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB).

Tengku Adnan yang mempunyai kepentingan dalam THSB didakwa mengetahui  AKSB mempunyai kaitan dengan kerja-kerja rasminya. Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Tengku Adnan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – SM

(Visited 92 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button