Jenayah

Kompaun langgar SOP Covid-19 bukan hukuman mati

ORANG ramai diminta supaya tidak menganggap bahawa kompaun berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sebagai sesuatu yang kejap.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kompaun yang dikenakan tersebut bukanlah satu hukuman mati.

Sebaliknya menurut beliau, mereka yang dikenakan kompaun berkenaan boleh membuat rayuan sekiranya merasakan jumlah yang dikenakan terhadap mereka tidak adil.

“Itu bukan hukuman mati. Maknanya sesiapa dikompaun, saya sudah berapa kali katakan dia boleh merayu. Tidak semestinya apabila mereka ditawarkan kesalahan yang dilakukan memang mewajarkan PDRM atau pengkuatkuasa yang lain mengeluarkan tawaran kompaun sebegitu rupa sama ada RM10,000 atau RM50,000 dia bukan mati di situ.

“Boleh merayu, berikan faktor-faktor yang boleh difahamkan atau diringankan jumlah kompaun, bukan di bawah PDRM yang tentutkan. Itu adalah kuasa Kementerian Kesihatan. Jangan rasa kejam. Sekiranya rasa tak bersalah merayu,” kata Abdul Hamid.


Beliau berkata demikian terhadap kejadian dua peniaga kecil di Kelantan yang dikenakan kompaun oleh pihak polis berjumlah RM50,000 kerana melanggar SOP Covid-19.

Abdul Hamid yakin anggotanya bekerja dengan ikhlas ketika melakukan tindakan saman tersebut.

“Kita akan dapatkan fakta sebenar. Jadi itu saya katakan tadi hukuman mati itu maksud saya bukan dia mati di situ sahaja, boleh dirayu jika itu dibangkitakan.

“Insya-Allah kita dengar alasan dan faktor-fktor yang diberikan. Nak dengar kedua-dua belah pihak. Saya percaya anak buah saya melakukan kerja itu dengan ikhlas tetapi sekiranya mereka yang terkesan tadi berasa tidak adil bawa ke pengetahuan. Perkara seperti ini Ketua Polis Kelantan boleh selesaikan,” kata Abdul Hamid dalam sidang media sebentar tadi.

Media sebelum ini melaporkan, seorang peniaga burger dan colek di dua kampung berasingan di Kota Bharu, Kelantan dikenakan kompaun RM50,000 kerana didakwa beroperasi melebihi masa ditetapkan pada Ahad malam lalu.

Tindakan yang dikenakan terhadap mereka yang masing-masing berniaga kecil-kecilan di depan rumah menimbulkan ketidakpuasan hati banyak pihak yang menganggap ia keterlaluan.-SM

 

(Visited 80 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button