NasionalParlimen

Komitmen Kerajaan bantu rakyat tangani kos sara hidup meningkat tak pernah berhenti

KERAJAAN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak pernah mengenepikan soal kenaikan kos sara hidup Keluarga Malaysia. Bahkan Kerajaan turut cuba memastikan kestabilan harga barangan supaya kekal pada harga mampu milik Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera memberitahu Dewan Rakyat yang bersidang hari ini bahawa komitmen Kerajaan dalam membantu rakyat untuk menangani kenaikan kos sara hidup dilaksanakan dengan meningkatkan peruntukan subsidi lebih RM77 bilion berbanding RM31 bilion bagi tahun 2020.

“Daripada jumlah ini, RM1.1 bilion diperuntukkan kepada subsidi ayam dan telur. Tindakan Kerajaan untuk memberi subsidi ayam ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan untuk membantu rakyat kerana inilah pertama kali subsidi ayam diberikan bagi memastikan bekalan ayam pulih,” jelas Perdana Menteri.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah berhenti memberi subsidi kepada Keluarga Malaysia bahkan  bagi terus membantu rakyat Keluarga Malaysia, Kerajaan juga telah menambah nilai Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada lebih kurang 9 juta penerima sebanyak RM100 bagi isi rumah serta RM50 bagi individu bujang.

Kata Ismail Sabri lagi, secara purata perbelanjaan isi rumah pada tahun 2021 adalah sebanyak RM3,587 sebulan. Dengan keadaan inflasi sekarang, perbelanjaan tambahan yang diperlukan adalah sebanyak RM115.

“Jika kita lihat golongan B40, mereka membelanjakan RM1,789 sebulan pada tahun 2021. Mengambil kira kadar inflasi semasa mereka memerlukan tambahan sebanyak RM58 menjadikan keperluan bulanan adalah sebanyak RM1,847,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai langkah proaktif jangka pendek bagi menangani isu bekalan dan harga makanan dilakukan.

“Ini sekali gus memastikan bekalan ayam kekal terjamin termasuk pelaksanaan stokpail ayam untuk menangani kekurangan bekalan ayam di pasaran menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang akan melibatkan Pertubuhan Peladang secara gabungan,” jelas beliau.

Beliau berkata, bagi memudahkan pembayaran tuntutan subsidi harga ayam, golongan penternak kecil dan sederhana dibenarkan membuat bayaran pendahuluan.

Ismail Sabri turut menyentuh tentang stock pile makanan.

Beliau berkata, bagi memudahkan cara prosedur import (IP) Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dibuat ke atas empat komoditi.

“Ini merangkumi soya, gandum, jagung dan makanan ternakan berasaskan haiwan dan tumbuhan melalui penangguhan fi permit serta mewujudkan priority lane bagi proses kemasukan pantas sehingga bekalan ayam kembali stabil,” ujar beliau.

Ismail Sabri berkata, sekuriti makanan dijadikan keutamaan dalam konteks Keselamatan Dalam Negeri bagi mengatasi masalah ini yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup Keluarga Malaysia. – SM

(Visited 229 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button