Ekonomi

AmBank dan PMSB menandatangani kemudahan pembiayaan untuk projek hijau yang menang anugerah di Pulau Pinang

Kumpulan AmBank telah memberikan kemudahan pembiayaan hijau yang bernilai RM130 juta kepada Persada Mentari Sdn Bhd (PMSB) untuk memudahkan pembangunan Arica @ Pulau Andaman serta projek di masa hadapan di pulau itu.

PMSB, sebuah syarikat tujuan khusus (special purpose vehicle) yang ditubuhkan oleh Tanjung Pinang Development Sdn Bhd, anak syarikat Eastern &  Oriental Berhad (E&O) dan KWEST Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) merupakan pemaju untuk projek Pulau Andaman, yang berkonsepkan tentang keunikan kehidupan mampan, ketersambungan yang sangat baik serta
landskap yang subur. Projek itu telah memenangi Pensijilan Sementara Platinum GreenRE pada tahun ini.

“Kami berbesar hati menyokong Persada Mentari Sdn Bhd dalam menyediakan kemudahan pembiayaan hijau untuk projek mesra alam ini. Kami percaya melalui perkongsian ini, kita boleh membuat perubahan yang nyata bukan sahaja untuk memberi kesan positif kepada alam sekitar tetapi juga untuk mencipta masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.

Usaha ini menunjukkan komitmen kami dalam mempromosi dan mengoptimumkan pembiayaan mampan dan kami berbangga menjadi sebahagian daripada pergerakan yang semakin berkembang bersama PMSB dalam inisiatif mereka ke arah ekonomi yang mampan dan berdaya tahan”, kata Datuk Sulaiman Mohd Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan AmBank.

Christopher Yap, Pengarah Urusan, Perbankan Perniagaan, Kumpulan AmBank berkata, “Saya ingin mengucapkan  tahniah kepada PMSB atas kemenangan mereka baru-baru ini dalam Pensijilan Sementara Platinum GreenRE.

“Kami berbesar hati untuk menyokong visi PMSB ke arah membina sebuah perbandaran yang direka bentuk dengan asas yang kukuh pada prinsip dan amalan mampan. Ramai pelabur dan perniagaan kini sedar tentang faedah pembiayaan mampan dan melalui projek Arica ini, kita boleh menjangkakan peningkatan dalam pelaburan dan inisiatif mampan sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara di Malaysia.”

Datuk Tee Eng Ho, Pengerusi Eksekutif, Eastern & Oriental Berhad berkata, “Arica E&O ialah projek kediaman dengan perkhidmatan kedua yang dibangunkan selepas kejayaan pembangunan kediaman kami yang pertama iaitu The Meg. Direka untuk memenuhi piawaian Green Building Certifification, pembangunan ini sejajar dengan prinsip kelestarian dan turut diiktiraf baru-baru ini dengan Pensijilan Sementara Platinum GreenRE dibawah kategori kediaman oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Sehubungan dengan itu, kemudahan pembiayaan hijau yang ditawarkan oleh AmBank adalah cerminan
komitmen kami ke arah pembangunan lestari dan di masa yang sama menggunakan inisiatif teknologi bangunan hijau bagi mencapai kualiti pembinaan yang lestari dan mesra alam.

“Kemudahan ini datang tepat pada masanya dan kami yakin Arica berada di landasan untuk disiapkan pada penghujung 2026.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada AmBank yang memberikan sokongan dan kepercayaan tidak berbelah bahagi di atas keupayaan dan potensi pertumbuhan kami. Kami teruja untuk meneruskan perkongsian dengan AmBank selaku salah satu rakan perbankan utama kami di masa hadapan.”

Kemudahan yang diberikan oleh AmBank akan membolehkan PMSB menumpukan perhatiannya terhadap aspek hijau projek yang menjadi nadi reka bentuknya.

Berdiri megah di bandar Pulau Pinang, Arica berkonsepkan sebagai tempat perlindungan yang tenang dan lengkap untuk menarik semua peringkat umur yang mencari kediaman yang sesuai dengan gaya hidup mereka. Unit Arica yang dilengkapi kelengkapan yang menarik terdiri daripada 947 kaki persegi hingga 1,259 kaki persegi. Unit 2 dan 3 bilik tidur menawarkan susun atur yang cekap dan praktikal untuk kehidupan yang optimum.

Direka bentuk untuk memenuhi piawaian Pensijilan Bangunan Hijau, Arica mengutamakan kehidupan aktif dan komunal dengan ruang peribadi dan profesional yang direka dengan teliti di ruang umum.

Selain membiayai projek itu, AmBank juga akan menyediakan jumlah had pembiayaan akhir bernilai RM 77 juta untuk unit kediaman. – SM

(Visited 100 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button