Nasional

MPFN lulus RFN4, RFZPPN-2, tubuh JPW negeri-negeri utara

Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-39 yang hari ini meluluskan dua dasar utama perancangan bandar dan desa.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dasar tersebut membabitkan Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN4) dan Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara-2 (RFZPPN-2) yang disediakan di bawah peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172].

“Ingin saya tekankan bahawa kerajaan pada masa ini memberi tumpuan dan keutamaan yang cukup tinggi terhadap pembangunan yang mampan, selaras dengan komitmen kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) iaitu Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif dan Mampan,” katanya Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

RFN merupakan dokumen peringkat tertinggi dalam sistem perancangan guna tanah negara

RFN4 disediakan untuk menentukan arah tuju pemajuan fizikal termasuk ekonomi, alam sekitar dan sosial bagi seluruh kawasan perancangan di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan RFN4 memerlukan penglibatan pelbagai pihak di setiap peringkat perancangan dan pembangunan, sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan, negeri atau tempatan.

“Ini termasuklah pihak-pihak berkuasa perancangan di bawah Akta 172 yang mempunyai fungsi dan tanggungjawab tertentu bagi memastikan RFN4 diterjemah dan dilaksanakan secara berkesan.

“RFN4 telah menggariskan tiga teras pembangunan, 11 hala tuju strategik, 39 strategi dan 120 tindakan yang meliputi segenap bidang perancangan fizikal, ekonomi, alam sekitar dan sosial,” kata beliau.

Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Ke-2 (RFZPPN-2) pula merupakan satu rancangan strategik guna tanah yang menggariskan hala tuju penggunaan, pemuliharaan dan pengurusan sumberjaya persisiran pantai di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

RFZPPN-2 digubal dengan mengambil kira aspek-aspek ancaman geobencana seperti hakisan pantai dan faktor perubahan iklim yang akan memberi kesan kepada sosio-ekonomi dan alam sekitar.

Selain itu, Indeks Kerapuhan Persisiran Pantai atau Coastal Vulnerabitlity Index (CVI) juga merupakan instrumen penting yang diambilkira dalam RFZPPN-2.

Mesyuarat MPFN turut bersetuju terhadap Cadangan Penubuhan Jawatankuasa Perancang Wilayah (JPW) bagi Negeri-Negeri di Utara Semenanjung Malaysia iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis.

Fungsi utama JPW adalah untuk menyelaraskan isu-isu perancangan yang merentasi sempadan dua negeri atau lebih serta menasihati kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam wilayah itu mengenai rancangan pemajuan yang sesuai bagi wilayah tersebut.

Ini adalah JPW keempat yang dipersetujui cadangan penubuhannya oleh MPFN, selepas JPW bagi Kawasan Persempadanan Antara Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (JPW NSMJ); JPW bagi Kawasan Tanah Tinggi Cameron Highlands, Kinta dan Lojing (JPW CEKAL); dan JPW bagi Kawasan Persempadanan Antara Daerah Pekan-Kuantan-Kemaman-Dungun-Jerantut (JPW PAKADJ).-SM

 

(Visited 215 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button