Nasional

KWSP peruntuk RM250 juta pemangkin pertumbuhan syarikat peringkat pertengahan

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan rM250 juta telah diperuntukkan bagi memangkin pertumbuhan syarikat peringkat pertengahan (mid-to-growth companies) di Malaysia melalui
usahasama dengan Gobi Partners, sebuah firma modal teroka pan-Asia yang mempunyai
rekod prestasi pelaburan yang luas.

Usahasama ini adalah sebahagian daripada komitmen KWSP untuk meningkatkan pelaburan dalam pasaran domestik, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelabur terbesar dalam pasaran domestik dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM702.48 bilion setakat Disember 2023.

Pelaburan ini akan bertumpu kepada enam (6) tema strategik, termasuk Penjagaan Kesihatan yang memfokuskan kepada penjagaan warga emas dan ‘silver economy’ 1 ; Pertanian dan Sains Makanan yang melihat kepada penambahbaikan ekosistem pengeluaran makanan; Keterangkuman Perkhidmatan Kewangan; Kemampanan
dengan bertumpukan kepada peralihan tenaga; Pendidikan yang bertujuan untuk menyediakan pendidikan berkualiti; dan Infrastruktur Sosial serta lain-lain usaha yang bertepatan dengan mandat strategik KWSP.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, KWSP komited terhadap pembangunan syarikat berpotensi tinggi di Malaysia di samping menyelaraskan strategi KWSP dengan pembangunan ekosistem perlindungan sosial yang inklusif.

“Komitmen ini adalah berlandaskan mandat untuk memenuhi beberapa tema pelaburan strategik termasuk penjagaan kesihatan, dengan tumpuan kepada penjagaan warga emas dan ‘silver economy’, sekali gus mencerminkan pengiktirafan KWSP terhadap kepentingan menangani keperluan penduduk yang semakin menua.

“Dalam jangka panjang, kami berharap usaha ini menyumbang kepada membina masyarakat yang berdaya tahan
terhadap cabaran ekonomi dan sosial, selain memberikan pulangan yang baik untuk ahli
kami,” katanya dalam kenyataan.

Bagi menyokong Rangka Kerja Ekonomi Madani, KWSP berusaha untuk memainkan peranan penting di samping GLIC lain dalam menyokong dan memajukan ekosistem di peringkat awal, selain melabur secara strategik dan menangani jurang kritikal di mana KWSP boleh membantu memacu pertumbuhan syarikat-syarikat ini serta meraih pulangan larasan risiko yang baik.

Komitmen ini juga adalah usaha KWSP untuk mengukuhkan perlindungan sosial melalui pelaburan strategik dalam syarikat bersaiz sederhana yang berpotensi di Malaysia.

Pengasas dan Pengerusi Bersama Gobi Partners, Thomas G. Tsao berkata, “Gobi Partners merasa bangga untuk bekerjasama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dalam komitmen ke arah pertumbuhan syarikat peringkat pertengahan di Malaysia. Tumpuan strategik kami terhadap enam tema utama menekankan dedikasi kami untuk memacu inovasi dan mencipta impak sosio-ekonomi yang berkekalan.”

KWSP kekal komited untuk meningkatkan pelaburannya dalam syarikat peringkat pertengahan yang selaras dengan misi KWSP untuk mencipta nilai jangka panjang untuk ahli serta menyediakan modal kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhan. – SM

(Visited 19 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button