BeritaPolitikPRK

Antara `politik’ Bob Hope, Sun Tzu dan Goebbels

Analisis

TANJUNG Piai yang menyaksikan kekalahan paling teruk Pakatan Harapan (PH) dalam keseluruhan sembilan Pilihan Raya Kecil (PRK)
sejak 9 Mei 2018 ibarat `mengejutkan seekor singa dari tidur’.

Itu pun kalau tepatlah gelaran raja rimba itu buat PH.

Realiti

Realiti yang harus diketahui PH, politik hari ini tidak lagi sama macam dulu-dulu sekitar tahun-tahun 90-an dan 80-an.

Tidak akan ada lagi kata-kata pujangga seperti mana dinukilkan Bob Hope, seorang penghibur Hollywood yang pernah bergurau berkenaan ahli-ahli politik yang masih mempolitikkan hal-hal tertentu dan memberi ucapan antara syurga dan neraka. Beliau menyindir bahawa ada beberapa ahli politik telah memberi ucapan-ucapan yang baik dan meyakinkan, “hinggakan perjalanan mereka ke neraka ditunda di antara syurga dan neraka”.

Politik hari ini adalah seperti mana digariskan oleh Sun Tzu, seorang ahli falsafah, jeneral dan strategis peperangan terkenal dari China. Kata Tzu dalam bukunya The Art Of War, “senjata paling ampuh dalam sebuah peperangan adalah strategi.”
Ikut prinsipnya, “Kenali diri anda, kenali musuh anda. Seribu perang, seribu kemenangan.”

Kejayaan Barisan Nasional

Nah! Lihatlah hasil yang dibawa jentera pilihan raya PH dari Tanjung Piai. Kalah dengan perbezaan 15,000 undi berbanding hanya 524 undi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) setahun sudah.

Pak-pak menteri yang ramai dari Johor pun tidak mampu menjamin kemenangan PH. Bukankah Johor memiliki Tan Sri Muhyidin Yassin (Menteri Dalam Negeri); Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Menteri Belia Dan Sukan); Yeo Bee Yin (Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim Dan Alam Sekitar) dan Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani)?

Mana penangan mereka? Dalam usaha menggerakkan pentadbiran kerajaan, ekonomi dan cara hidup rakyat Malaysia, hakikatnya banyak ranjau yang perlu ditempuh.

Bukan kerja mudah

Harus diakui, bukan suatu kerja mudah untuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anggota-anggota Kabinetnya memperjelaskan semua ini, khasnya kepada akar umbi erti cabaran serta pembaharuan-pembaharuan yang difikir, dicadang dan dilaksanakan.

Dengan rakyat yang semakin ‘celik mata’ kian mampu membezakan antara fakta dan auta, ditambah pembangkang BN/UMNO-Pas pula yang bukan sembarangan, semua ini menuntut Kabinet untuk berdaya tahan lasak.

Propaganda

Kisah juru propaganda Nazi Jerman di era Perang Dunia Kedua, Joseph Goebbels harus dijadikan teladan dalam waktu-waktu terdekat ini.

Goebbels pernah mengungkapkan: “Inform, inform and when they are interested, misinform”.

Dia merupakan pakar propaganda diktator Adolph Hitler yang utama dan pembenci serta musuh orang Yahudi yang tidak ada tolok bandingnya.

Malah, ramai sejarawan berpendapat, jika Goebbels terus berperanan selepas Perang Dunia Kedua, Yahudi mungkin pupus di Eropah kerana semangat kebencian anti-semitisme yang begitu menyeluruh di Eropah, khasnya di Jerman.

Goebbels dimunculkan kerana kesungguhan dan kepakarannya sebagai ejen penerangan Nazi Jerman yang terhebat. Kebolehannya mengikut rekod arkib Jerman, menyebabkan Hitler lebih berani dan lebih ganas, terutama terhadap orang Yahudi di Jerman.

Kejayaannya, walaupun dalam konteks pencapaian yang negatif, lantaran kebolehan putar alam dan putar belitnya, harus diterima kerana beliau berjaya mempakari semua aspek hearts and minds rakyat Jerman sekali pun jiwa Yahudi tidak berjaya dikuasai pemerintahan Nazi.

Cuma rakyat haruslah bijak timbang-timbangkan dari terjerumus ke dalam ‘politik putar alam’. Dan agar dijauhkan dari menjadi mangsa ‘gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah’.

Pokok pangkalnya, PH harus segera melunaskan janji-janji utamanya yang belum terlaksana dalam manifesto PRU-14 lepas.
Buktikan kepada rakyat Malaysia yang itu ‘bukan janji-janji asalkan kami menang pilihan raya’.

– SUARA MERDEKA

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button