Ekonomi

Kerajaan Persekutuan akan terus tambah program kebajikan rakyat

Kerajaan Persekutuan terus menzahirkan komitmen yang tinggi dalam mendekati rakyat dengan akan terus menambah pelbagai program bagi menjaga kebajikan rakyat, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata pada masa ini, kerajaan pusat memerlukan sedikit masa dan sedang berusaha memulihkan keadaan ekonomi dan setelah pulih, pelbagai program bagi kebajikan rakyat sudah tentu akan dilaksanakan.

“Pada hari ini saya datang ke Program Warga Emas, Ibu Tunggal dan Ibu Emas Tahun 2019 iaitu satu program yang telah dilancar oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan kini sudah 10 tahun program itu berjalan. Ia adalah hasil daripada kejayaan pihak kerajaan negeri untuk mendirikan sebuah kerajaan negeri yang bersih. Pulau Pinang berjaya melakukannya selepas mentadbir negeri selama 10 tahun.

“Kita juga perlu sedikit masa di peringkat kerajaan Persekutuan, kita harap bahawa bila keadaan (ekonomi) pulih, kita boleh melancarkan program-program sedemikian atau menambah program sedia ada untuk kebajikan rakyat. Itu memang perlu, tetapi kita mesti pastikan kita ada kemampuan kewangan yang kukuh,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program itu di Taman Pandan pada Ahad.

Lim berkata apa yang ingin ditegaskan adalah segala janji-janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan harus ditunaikan namun ia memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan.

“Kalau kerajaan terdahulu pun ambil masa lima tahun untuk mencapainya, jadi sekiranya nak buat ukuran itu (perbandingan) saya harap masa yang sama boleh diberikan kepada kerajaan Persekutuan. Sekarang ini kita boleh lihat terdapat banyak perbezaan, perubahan tetapi ia berjalan secara berperingkat seperti yang kita lihat di peringkat Pulau Pinang ini. Ia adalah hasil daripada usaha selama 10 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Lim berkata kerajaan akan sentiasa mempertingkatkan usaha dengan melihat sektor-sektor tertentu yang memerlukan bantuan.

“Itu akan diambil kira, sudah tentu dalam kerangka yang akan diumumkan kemudian. Berikan sedikit masa, yang penting adalah untuk tahun hadapan kita akan adakan program untuk galakkan peralihan kepada E-dompet supaya kita boleh adakan pembayaran digital, jadi itu akan dilancarkan tahun hadapan dan membolehkan sekurang-kurangnya RM30 diberikan kepada semua yang daftarkan diri supaya mereka ada RM30 untuk belanja,” katanya.– BERNAMA

(Visited 92 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button