Nasional

Kluster Pulau di Sabah: Bermula dari wanita ditemui tidak sedarkan diri

SATU lagi kluster baharu Covid-19 ditemui di Sabah iaitu di Kunak. Kluster Pulau bermula daripada kes indeks wanita warga emas berusia 68 tahun iaitu kes ke-9940.

Wanita berkenaan ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya dan telah dibawa ke Hospital Kunak. Dia kemudiannya dirujuk ke Hospital Tawau bagi rawatan serangan jantung, strok dan penyakit hati.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, selepas ujian saringan dilakukan wanita berkenaan postif Covid-19 pada  13 September. Dia kini dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif lapan lagi kes positif COVID-19 telah dikesan.

“Kesemua 8 kes merupakan ahli keluarga kes indeks. Sehingga 15 September sejumlah 128 individu telah disaring dalam kluster ini yang terdiri daripada 109 warganegara dan 19 bukan warganegara,” kata Dr. Noor Hisham.

Menurutnya, 101 individu daripada kluster ini masih menunggu keputusan.

Sementara itu hari ini,  23 kes baharu dilaporkan melibatkan 10 kes import 10 dan kes tempatan. Ini menjadikan kes aktif meningkat kepada 632 kes. Sejumlah 14 kes dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi dan empat daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Sabah terus mencatatkan peningkatan kes dengan 13 kes baharu melibatkan lapan kes Kluster Pulau, empat kes Kluster Benteng LD.

Bagi Kluster Benteng LD sehingga hari ini mencatatkan 424 kes positif. Daripada jumlah itu 395 kes melibatkan banduan di Penjara Tawau, 10 kes melibatkan kakitangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu dan Penjara Tawau.

Sembilan orang daripadanya merupakan  ahli keluarga kepada kakitangan, banduan dan tahanan serta 10 orang lagi merupakan kontak sosial.-SM

 

(Visited 124 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button