Bola SepakSukan

KLCFC berhasrat hos perlawanan final Zon ASEAN Piala AFC

PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL) masih berharap untuk menjadi tuan rumah sekiranya Kuala Lumpur City FC (KLCFC) layak ke perlawanan akhir Zon ASEAN Piala AFC 2022 dengan mengatasi Viettel dari Vietnam, 10 Ogos ini.

Presidennya, Khalid Samad berkata, yang perlu diusahakan sekarang ialah calon gelanggang perlawanannya, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras yang keadaan padang dan lampu limpahnya dinaik taraf segera.

Khalid Samad, Presiden Kuala Lumpur City FC

Ketika saingan Kumpulan H di situ, AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) kurang berpuas hati dengan keadaan padang mengikut piawaian mereka dan lampu limpah tidak mencapai syarat 1,200 lux.

“Pegawai AFC yang menjalankan pemeriksaan akhir venue, telah menyampaikannya kepada Stanley Bernard, (Ketua Pegawai Eksekutif KLCFC),” katanya dalam sidang media di stadium berkenaan, semalam.

PBKL tegas Khalid, menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji semula pajakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur kepada sebuah syarikat swasta yang didapati gagal menyelenggarakan gelanggang itu.

KLCFC kendalian warga Croatia, Bojan Hodak layak ke separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC setelah muncul naib juara Kumpulan H di belakang PSM Makassar (Indonesia, terikat 0-0) namun mengatasi Tampines Rovers (Singapura) 2-1 di Cheras.

Stanley Bernard, Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC

Satu lagi wakil Malaysia, Kedah Darul Aman (KDA) FC pula menjuarai Kumpulan G di Bali, Indonesia setelah dikalahkan Bali United 2-0 namun menumpaskan Kaya FC Iloilo (Filipina) 4-1 dan Visakha FC (Kemboja) 5-1.

KDA FC, naib juara Liga Super 2021, akan berdepan PSM Makassar di gelanggang lawan pada 9 Ogos.

“Kami juga menyeru para penyokong tegar Kuala Lumpur City FC menzahirkan sokongan mereka dengan hadir menonton aksi pasukan di stadium dalam misi kita mengembalikan zaman kegemilangan seperti akhir 80-an,” kata Khalid lagi.

 

 

(Visited 188 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button