Hiburan

Pelita Lusoh tidak perlu menempel

 

KARIER seni Aweera, Anep dan Alan dari kumpulan Pelita Lusoh umpama roda.

Pada awalnya artis berkumpulan ini hanya dipandang sebelah mata oleh ‘player’ dalam industri seni dan hiburan tempatan.

Antara faktor yang membuatkan Pelita Lusoh berada dalam situasi antara nampak dengan tidak adalah disebabkan oleh vokalisnya Aweera.

Kontroversi yang terpalit pada Aweera sukar untuk dikikis ataupun ditanggalkan.

Walaupun Aweera berusaha untuk tidak dikaitkan lagi dengan perkara yang sensitif namun sebagai ahli dalam Pelita Lusoh, mereka perlu terus bergerak dan tidak menjadi sebuah kumpulan yang lusoh.

Malam tadi muzik video single terbaharu Pelita Lusoh iaitu single kedua mereka yang berjudul Kekaseh Syurga dimuat naik di Youtube.

Petang semalam jugalah single kedua itu diperdengarkan dan sekali gus dilancarkan secara rasmi karya sepenuhnya oleh Aweera, susunan muzik oleh Anep dan Alan.

Kata Aweera, Kekaseh Syurga ialah sebuah karya yang mampu berada dalam lingkungan ‘berdiri sama tinggi duduk sama rendah’ dengan karya-karya dari luar negara.

Justeru lagu terbaharu Pelita Lusoh ini mendambakan sokongan daripada semua pihak bukan sahaja peminat tetapi juga stesyen radio.

“Kalau boleh kami mengharapkan stesyen radio memutarkan lagu Kekaseh Syurga agar lagu ini dikenali penggemar muzik di luar sana,” kata Aweera dan disambut dengan kata-kata setuju oleh Anep dan Alan.

Apabila Pelita Lusoh diintai oleh komposer di luar sana, apakah mereka mahu membuka pintu untuk menerima lagu ciptaan komposer?

“Kalau sekadar nak menempel, rasanya tidak perlu tetapi karya yang bagus tidak ditolak.

“Apabila Pengurus Besar Life Records Malaysia, Singapura dan Indonesia, Osman Arrifin merancang untuk membawa kami ke negara jiran, kami tidak akan melepaskan peluang yang diberikan.

“Pelita Lusoh perlu berusaha lebih kuat lagi kerana kami sedar bukan mudah untuk orang memberi peluang dan meletakkan kepercayaan kepada kami,” kata Anep.

Kata Anep lagi, Pelita Lusoh selesa bergerak bertiga dan biarlah ia kekal begitu. – SM

(Visited 670 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button