fbpx
Nasional

KKMM semak status, akreditasi Al Jazeera

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia sedang menyemak sama ada dokumentari kontroversi “Locked Up In Malaysia’s Lockdown” terbitan agensi media antarabangsa Al Jazeera mendapat lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sebelum dihasilkan.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata ini kerana antara syarat penghasilan setiap filem dan dokumentari di negara ini ialah syarikat atau produksi yang terlibat perlu mendapat izin daripada FINAS.

Katanya, kementeriannya menerusi Jabatan Penerangan juga akan menyemak pas akreditasi Al Jazeera yang membabitkan kebenaran media antarabangsa itu beroperasi di negara ini.

“Bagi FINAS mudah saja iaitu sama ada memiliki lesen atau tiada lesen. Jika ada lesen OK, kalau tak ada lesen dikira salah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Nation of Women (NOW) Negeri Pahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Presiden NOW Haniza Talha dan Pengerusi FINAS Zakaria Abd Hamid.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata dari segi Jabatan Penerangan pula, aspek yang dilihat ialah pelanggaran syarat akreditasi.


“… jika media antarabangsa itu langgar syarat akreditasi, kita batalkan akreditasi selepas mendapat hasil siasatan polis. Melalui pembatalan akreditasi, bermakna dia tak bebas untuk ke mana-mana sebab kad (media) itu dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan,” katanya.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani penularan COVID-19.

Polis dilaporkan telah memanggil pengendali Al Jazeera serta wartawan yang terlibat dalam penerbitan dokumentari itu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan yang dibuat menurut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, selain Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sementara itu mengenai NOW, Haniza berkata badan bukan kerajaan (NGO)  itu menyasarkan pertambahan ahli sehingga 50,000 menjelang akhir tahun ini berbanding kira-kira 30,000  orang sekarang.

Katanya, NGO itu mempunyai keahlian daripada pelbagai bangsa, fahaman politik dan kepakaran yang diharapkan dapat diguna bagi manfaat ahli-ahlinya.

Saifuddin dalam ucapannya sebelum itu menyarankan agar NOW menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi membolehkan ahli-ahlinya mengikuti latihan pemasaran dalam talian yang ditawarkan MDEC. – BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button