Nasional

KKMM rekod pelbagai kejayaan dalam kebebasan media, pendigitalan dan 5G

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menempuh pelbagai kejayaan dan pencapaian membanggakan sepanjang 2019 dalam menjamin kebebasan media, membawa badan penyiar rasmi kerajaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke era digital dan mempertingkatkan kelajuan komunikasi negara melalui 5G.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menunjukkan kedudukan media Malaysia melonjak sehingga 22 anak tangga menduduki tempat ke-123 dalam ranking Indeks Kebebasan Media Dunia 2019, bukti terdapat ruang untuk media bebas wujud di negara ini.

“Malaysia menduduki tangga ke-145 pada 2018. Di bawah kerajaan baharu, pengamal dan organisasi media lebih bebas menjalankan tugas,” menurut Gobind menerusi muatnaik Pencapaian Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) 2019 dalam akaun Facebooknya hari ini.

Selain itu, pemansuhan Akta Berita Tidak Benar pada 19 Dis lepas turut dilakukan seiring dengan semangat media bebas di negara ini.

Gobind berkata, satu kaji selidik Institut Reuters menunjukkan bahawa RTM adalah jenama media paling dipercayai pada 2019, mendahului agensi penyiaran lain antaranya Astro Awani, NTV7 dan TV3 News.

“Sebanyak tiga program bual bicara yang baharu dilaksanakan termasuk rancangan ‘Pastikan Sahih’ yang bertujuan berkongsi maklumat benar dan membetulkan berita palsu yang tular dalam media sosial,” kata Gobind.

Beliau juga berkata pada Oktober 2019 RTM juga telah beralih daripada siaran analog kepada digital sepenuhnya, menandakan era baharu industri penyiaran negara.

Platform televisyen (TV) digital myFreeview kini menawarkan 14 saluran TV antaranya TV1, TV2, TV3, NTV7, TV Al-Hijrah dan Bernama TV serta enam saluran radio percuma.

Lebih menarik, Gobind berkata buat kali pertama RTM menjadi stesen terrestrial tunggal menyiarkan kejohanan Piala Dunia Ragbi 2019, Kejohanan COPA America 2019, siaran langsung bola sepak Kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan liputan Sukan SEA Filipina 2019.

Mengenai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), beliau berkata agensi berita nasional yang ditubuhkan pada 1968 itu turut melalui beberapa transformasi iaitu Bernama Radio kini dikenali sebagai ‘Stesen Berita Bisnes Anda’ yang membawakan berita bisnes terkini termasuk perbincangan bertumpu kepada pembangunan usahawan.

“Bernama TV telah memperkenalkan 12 program baharu merangkumi pelbagai isu, berita semasa serta kandungan lebih berfokus kepada golongan muda. Bernama juga berjaya merangkul dua pengiktirafan pada majlis Anugerah Kepimpinan Ikon Jenama BrandLaurette Yayasan Jenama Dunia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Gobind berkata Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NCPF) bernilai RM21.6 bilion yang dilancarkan pada 19 Sept lepas adalah pelan lima tahun bertujuan menyediakan kesalinghubungan digitial yang mapan, menyeluruh, berkualiti tinggi serta mampu milik.

Di bawah NCPF, Gobind berkata, 4.14 juta premis akan mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi apabila dinaik taraf kepada gentian optik, pembinaan 213 menara komunikasi baharu termasuk 100 di Sabah dan Sarawak serta harga langganan Streamyx dikurangkan daripada RM110 hingga RM160 kepada RM69 setiap bulan.

“Tawaran khas Orang Kelainan Upaya (OKU) termasuk diskaun RM10 hingga RM15 bagi perkhidmatan mudah alih pra-bayar dan pasca bayar tertentu serta diskaun 50 peratus (daripada RM120 kepada RM60) untuk pendaftaran baharu nama domain.my mulai 1 Jan 2020,” katanya.

Ke arah persiapan pelaksanaan 5G, Gobind berkata sebanyak RM50 juta telah diluluskan di bawah Geran Pembangunan Ekosistem 5G bertujuan menggalakkan lebih banyak projek rintis aplikasi digital.

Pasukan Petugas 5G Kebangsaan telah menyiapkan Laporan Separa Penggal pada 29 Julai lepas dan Laporan Akhir pada 18 Dis lepas selaras dengan terma rujukan mereka bagi mencadangkan pelbagai strategi untuk pelaksanaan teknologi serta ekosistem 5G.

“Inisiatif ‘5G Testbed’ juga dimulakan di Putrajaya dan Cyberjaya bagi menguji kebolehan serta keberkesanan teknologi 5G,” kata Gobind.

Mengenai keselamatan siber, beliau berkata CyberSecurity Malaysia telah diberi pengiktirafan oleh Interpol yang juga badan antara kerajaan bagi menggalakkan kerjasama antara pihak berkuasa polis di seluruh dunia dalam membangunkan Garis Panduan bagi Makmal Forensik Digital Global Interpol.

Tidak setakat itu sahaja, kerajaan PH juga tidak terlepas pandang perkhidmatan pos dan kurier yang dijalankan Pos Malaysia dengan memperkenalkan inisiatif ‘Alamat Untuk Semua’ di kawasan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan penghantaran surat, bungkusan, bantuan kerajaan dan sebagainya dapat dilaksanakan dengan baik dan efektif. Pada tahun ini (2019), sebanyak 948 alamat rumah berjaya didaftarkan,” katanya.

Sejajar dengan perkembangan e-Dagang, beliau berkata Pos Malaysia memperkenalkan dua program utama iaitu platform penghantaran dalam talian ‘Pos Laju SendParcel’ dan ‘Pos Rider’. – BERNAMA

(Visited 67 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button