Nasional

Kerjasama semua pihak dapat banteras penyalahgunaan dadah

PENULARAN penyalahgunaan dadah dalam masyarakat boleh dibendung dari menjadi tidak terkawal dengan adanya usaha kolaboratif yang digerakkan secara bersepadu dengan mengoptimumkan modal sosial masing-masing.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kementerian Dalam Negeri, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata kita perlu bersama- sama memutuskan rantaian penyalahgunaan dadah sebelum ia berada di dalam keluarga kita.

“Setiap Kementerian, Jabatan/Agensi, Badan Bukan Kerajaan, pemimpin tempatan dan orang awam perlu melakukan usaha untuk mengekang permasalahan dadah secara berterusan dan hendaklah seiring dengan polisi serta komitmen yang telah dinyatakan secara jelas melalui Dasar Dadah Negara dan peruntukan akta-akta berkaitan dadah.

“Institusi kekeluargaan perlu diperkukuhkan dengan meningkatkan nilai-nilai murni serta cakna terhadap perkembangan dan perubahan tingkah laku ahli keluarga.

“Ibubapa juga perlu menjadi sahabat kepada anak-anak terutama ketika usia anak masih muda dan apabila ia dipraktikkan, anakanak akan sentiasa menjadikan ibubapa sebagai tempat rujukan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Sutekno, AADK telah menambah baik saluran-saluran perkhidmatan yang sukar diakses oleh rakyat kerana penularan Covid-19.

Tambahnya, kempen- kempen pendidikan pencegahan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan dadah telah dipelbagaikan platform penyampaiannya agar sesuai dengan kumpulan sasaran dan situasi semasa.

“Konsep dan inovasi yang digunakan dalam berhadapan dan menangani virus COVID-19 boleh diaplikasikan dalam usaha menangani permasalahan dadah dalam negara.

“Oleh itu AADK telah mengambil langkah dengan menambah baik saluran-saluran perkhidmatan kepada rakyat dalam situasi penularan Covid-19 yang telah membataskan akses perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pusat Gerakan Hotline AADK yang telah dilancarkan pada 2018 perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Tambahnya lagi, AADK menggunakan laman web rasmi iaitu www.adk.gov.my  serta platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan channel AADK TV di Youtube untuk menyebarluaskan maklumat-maklumat berkaitan pendidikan pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah dan juga penguatkuasaan undang-undang berkaitan penagihan dadah.

“Saya menyeru orang ramai agar memanfaatkan Pusat Gerakan Hotline AADK dan juga maklumat-maklumat yang disediakan dalam platform media sosial AADK dalam usaha kita melawan Musuh Nombor 1 Negara ini.

“Di kesempatan ini saya mewakili AADK merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang telah bersama-sama menangani permasalahan dadah.

“Semoga usaha kita akan terus mendapat sokongan masyarakat dan beroleh keberkatan Allah,” katanya.

Sambutan peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2022  masih mengekalkan tema “Lebih Baik Cegah”. -SM

(Visited 347 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button