Nasional

KKM tetapkan fi ujian pengesanan Covid-19 bagi pelepasan imigresen

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menetapkan bayaran fi ujian pengesanan penyakit Covid-19 bagi tujuan pelepasan imigresen di mana-mana pintu masuk negara.

Fi yang berkuatkuasa pada 29 Jun itu tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Fi Bagi Ujian Pengesanan Penyakit Koronavirus 2019)(Covid-19) 2020.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba, selaras dengan penguatkuasaan peraturantersebut, mana-mana warganegara atau orang asing yang memasuki Malaysia dari luar negara perlu membayar fi bagi ujian pengesanan Covid-19 sebelum mendapat pelepasan imigresen.

“Selain itu, mana-mana warganegara atau orang asing yang berada di Malaysia boleh meminta untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 di mana-mana hospital kerajaan atau klinik KKM dan hendaklah membayar
fi bagi ujian pengesanan COVID-19,” kata Dr. Adham.

Fi yang dikenakan terhadap warganegara Malaysia adalah antara RM30 hingga RM150 manakala bagi warga asing pula adalah antara RM60 hingga RM250.

Ujian pengesanan penyakit Covid-19 di pintu masuk antarabangsa dan fasiliti KKM akan menggunakan teknik tindak balas berantai polimerase atau kit ujian pantas antigen mengikut kesesuaian semasa.

“Manakala ketika ini ujian kit ujian pantas antibodi digunakan ke atas individu yang diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah pada hari ke-13, sebelum mereka dilepaskan dari perintah tersebut pada hari ke14,” kata Dr. Adham dalam satu kenyataan hari ini.

Bayaran fi bagaimanapun dikecualikan terhadap beberapa kumpulan termasuk pegawai Kerajaan yang memasuki Malaysia dari luar negara atas tugasan rasmi di luar negara.

Mereka perlu mengemukakan surat arahan rasmi berhubung perkara tersebut sebagai bukti.  Pengecualian tersebut bagaimanapun tidak terpakai kepada ahli keluarga pegawai

Turut diketepikan bayaran fi adalah orang kurang upaya (OKU) yang memasuki Malaysia dari luar negara. Mereka perlu mengemukakan kad OKU yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pengecualian tidak terpakai kepada ahli keluarga OKU.

Pelajar warganegara Malaysia, persendirian atau mempunyai penajaan, yang memasuki Malaysia dari luar negara kali pertama juga dikecualikan daripada membayar fi. Mereka hanya perlu mengemukakan bukti pengajian.-SM

 

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button