Nasional

KKM ramal berlaku gelombang kedua demam denggi

APABILA banyak premis perniagaan tidak beroperasi sepanjang lebih tiga bulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa, tidak dapat dielakkan sekiranya premis-premis yang ditinggalkan selama itu menjadi tempat pembiakan nyamuk terutamanya nyamuk aedes.

Pasti ada air yang bertakung, justeru orang ramai digesa supaya menjaga kebersihan persekitaran.

Peringatan ini diberi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana pihak kementerian menjangkakan, berlaku gelombang kedua atau peningkatan kes demam denggi dari Jun hingga September ini.

Mengulas lanjut, Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan bermula Rabu ini maka lebih banyak sektor ekonomi, aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan dan perniagaan bakal dibuka.

“Kemungkinan kebanyakan tempat ini yang lama tertutup dan tiada pergerakan orang ramai lalu ia berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk.

“Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya mempertingkatkan tahap kebersihan di kawasan masing-masing,” katanya pada sidang akhbar harian, siang tadi.

Dr. Noor Hisham berkata, kawasan takungan air dan tempat-tempat yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk perlu dibersihkan.

Usaha membanteras nyamuk Aedes dan demam denggi, ujar Dr. Noor Hisham, adalah tanggungjawab kita semua sepertimana masyarakat berganding bahu bagi memutuskan penularan jangkitan COVID-19.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan pencegahan pembiakan nyamuk Aedes perlu diambil selaras dengan norma dan kelaziman baharu bagi mengekang penularan kes demam denggi.

Antaranya, kata Dr. Noor Hisham, pemilik premis perlu membuat pembersihan di dalam dan di luar premis masing-masing setiap minggu.

“Mana-mana premis atau ruang bilik yang telah lama tidak beroperasi, hendaklah disembur aerosol pada hari pertama sebelum digunakan selain melakukan aktiviti larvasiding (membunuh jentik-jentik),” ujar beliau.

Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun berlaku trend penurunan dalam kes denggi sejak awal tahun ini namun sejak enam minggu lepas, terdapat trend peningkatan secara berterusan dengan purata peningkatan sebanyak lapan peratus setiap minggu.

Sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini, 84 kes kematian demam denggi dilaporkan berbanding 83 kes pada tahun lepas.

“Berdasarkan siasatan awal terhadap 84 kes kematian demam denggi pada tahun ini, didapati 11 peratus telah lewat mendapatkan rawatan iaitu tiga hari selepas bermulanya gejala,” katanya.

Dr. Noor Hisham menambah, dalam tempoh Januari hingga 6 Jun lepas, sebanyak 48,584 kes demam denggi dilapor berbanding 54,524 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lepas atau penurunan sebanyak 11 peratus. – SUMBER BERNAMA https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1849203

(Visited 432 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.
Back to top button