Nasional

KKM, MDEC pacu bersama pembangunan MSC 2.0

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia bersama MDEC akan memacu pembangunan MSC 2.0 untuk melonjakkan ekonomi digital negara dan menarik lebih banyak pelaburan digital, kata Menteri KKM, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, MSC Malaysia merupakan salah satu tonggak utama ekonomi digital negara.

“Ia telah ditubuhkan pada 1996 untuk membangunkan ekosistem ekonomi digital yang kondusif menerusi pemupukan juara ICT tempatan dan menarik pelaburan global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, inisiatif ini juga telah membantu mempromosikan adaptasi digital di Malaysia dan meningkatkan jumlah bakat berkemahiran negara.

“Sejak 25 tahun lalu, MDEC menerusi inisiatif MSC Malaysia telah membantu negara meraih RM384 bilion pelaburan dan RM588 bilion jumlah pendapatan.

“Ia telah dipacu oleh 40 buah syarikat berstatus Forbes100 yang telah menjadikan Malaysia sebagai digital hab mereka,” ujar beliau.

Menerusi objektif untuk melonjakkan ekonomi digital Malaysia, kata Annuar, MSC 2.0 bertujuan untuk mengembangkan sektor fokus digital ke seluruh negara dan memangkinkan bidang pembangunan baharu untuk menjana pekerjaan berpendapatan tinggi untuk
rakyat.

Tambah beliau, ia juga bertujuan menyokong dan mempromosikan penggunaan digital yang meluas, merentasi semua aktiviti ekonomi di Malaysia dan juga merapatkan jurang digital ke arah pengagihan kekayaan yang saksama.

MSC 2.0 turut melibatkan penambahbaikan insentif dan Rang Undang-Undang
Jaminan, penjenamaan baharu serta peluasan lokasi untuk MSC mempromosikan aktiviti di seluruh negara, katanya.

Keputusan untuk memacu MSC 2.0 telah dibuat semasa mesyuarat keempat Majlis
Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Nasional Keempat yang dipengerusikan
oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Keputusan berkenaan adalah tepat pada masanya dan relevan.

“Ketika Malaysia dalam proses keluar dari pandemik Covid-19, penambahbaikan MSC Malaysia
adalah sangat penting untuk menuju ke arah pemulihan ekonomi negara selaras
dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Rangka Tindakan Ekonomi
Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), kata Annuar. – SM

 

 

(Visited 124 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button