Politik

Rakyat Johor jangan terperangkap pilih UMNO, BN

Wartawan Suara Merdeka

PAGOH 9 Mac – Rakyat di Johor yang akan keluar mengundi Sabtu ini diminta jangan terperangkap untuk memilih UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, jika rakyat Johor masih memberi kemenangan kepada UMNO dan BN ia akan sekali lagi mengheret negara ini ke kancah politik yang tidak diperlukan pada hari ini.

Beliau berkata, tidak mustahil kemenangan mereka di Johor akan membawa pula kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri Perak pula.

“Mereka (UMNO) akan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang tidak sepatutnya berlaku lagi pada masa sekarang.

“Atas dasar kononnya negara tidak stabil, kononnya Johor tidak stabil perlu kepada satu PRN untuk memberikan kestabilan kepada negeri Johor hakikatnya bukan kerana Johor tidak stabil tetapi kerana mereka tak cukup makan,” ujarnya.

Beliau berucap di program Pentas Anak Muda di Bilik Gerakan Zon Utara, Jalan Pagoh Jaya di sini malam tadi yang dihadiri Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Yang turut hadir calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal; calon PN Bukit Pasir, Iqbal Razak dan Timbalannya Ketua Pemuda PN, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Mengulas lanjut Ahmad Fadhli lagi, selain BN, rakyat Johor juga harus menolak calon-calon daripada Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, tidak mungkin PH wajar diberi peluang untuk memerintah Johor terutama daripada DAP dan Amanah termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak lagi relevan.

Justeru beliau berharap rakyat memilih PN untuk menang dan membentuk semula kerajaan negeri kerana parti itu menampilkan calon-calon yang berintergriti dan bebas daripada rasuah.

“Jika PN dipilih Sabtu ini, situasi akan kembali stabil, tidak akan berlaku lagi pembubaran DUN dan rakyat boleh fokus kepada usaha meningkatkan mutu dan hidup rakyat,” ujarnya.

 

(Visited 177 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button