
Nasional
KKM laksana projek rintis pemberian kaca mata percuma murid sekolah
Kementerian Kesihatan (KKM) melaksana projek rintis pengesahan masalah penglihatan dan pemberian kaca mata percuma kepada murid daripada kategori B40 dan M40.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mereka sentiasa memantau masalah ketajaman penglihatan murid sekolah melalui pemeriksaan oleh pasukan di bawah KKM.
Bagaimanapun katanya, terdapat sebahagian pelajar yang dirujuk untuk pembetulan ketajaman penglihatan masih tidak memakai cermin mata disebabkan faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan seperti kekangan ekonomi.
“Bagi menangani masalah ini, pihak kementerian melalui kerjasama awam-swasta, telah berganding bahu dengan KPM (Kementerian Pendidikan ) dan Optimax Eye Specialist Centre Sdn Bhd, untuk melaksanakan projek rintis pengesahan masalah ketajaman penglihatan dan pemberian kaca mata percuma.
“Projek rintis ini telah bermula sejak Ogos 2024 dan mengambil masa selama satu tahun, di 16 buah sekolah rendah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Wilayah Persekutuan Putrajaya.
“Ia merangkumi murid Tahun 1 B40 & M40 dengan jumlah bilangan murid yang disaring 2,642 orang. Manakala bilangan murid yang layak 100 orang (3.8%),” katanya.
Dr Dzulkefly sebelumnya hadir ke Program Pemeriksaan Refraksi Dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan Kepada Murid Sekolah Rendah Tahun 1 Kategori B40 Dan M40 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), di Putrajaya pada Khamis. – SM