fbpx
Nasional

KKM ajar cara pakai pelitup muka dengan betul

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengingatkan orang ramai supaya memakai pelitup muka atau mask dengan betul ketika berada di tempat awam.

Cara pemakaian yang betul adalah dengan meletakkan bahagian bewarna menghadap ke luar dan putih pula ke dalam.

KKM juga menerusi kenyataan dalam Facebooknya menafikan maklumat yang tular dalam media sosial berkenaan dengan cara pemakaian pelitup muka.

Dalam maklumat yang tular itu menyatakan warna pada pemakaian pelitup muka menggambarkan tahap kesihatan seseorang.

Iaitu, letak permukaan berwarna pada bahagian dalam menandakan pemakainya tidak sihat.


“Perkongsian berikut adalah tidak tepat.

“Samada anda sakit ataupun tidak, cara pemakaian yang betul adalah putih di dalam, biru di luar.”

Demikian kenyataan KKM menyangkal mesej tular mengenai cara pemakaian pelitup muka bergantung kepada warna dan kesihatan pemakainya.

Justeru, kementerian itu menyeru orang ramai supaya mendapatkan maklumat hanya melalui sumber yang sah.

Malah, mereka meminta orang awam menjadikan KKM sebagai sumber rujukan yang sah bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan kesihatan.

“Jadikan media sosial rasmi KKM sebagai sumber rujukan.

“Selain Facebook, KKM juga turut mempunyai akaun media sosial lain seperti  Twitter – KKMPutrajaya dan Instagram – Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam terutama di kawasan sesak mulai 1 Ogos lalu.

Antara kawasan yang diwajibkan pemakaiannya seperti ketika menaiki pengangkutan awam.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam taklimat harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 23 Julai lalu.

Pemakaian pelitup muka itu diwajibkan selepas berlaku peningkatan kes jangkitan Koronavirus (Covid-19) sejak akhir-akhir ini.

Menurut Ismail Sabri lagi, orang ramai yang gagal mematuhi peraturan tersebut boleh dikompaun RM1,000 Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988). – SM

 

Show More

Mohamad Athir Ismail

Penulis merupakan antara wartawan Utusan Malaysia dan Utusan Online yang terakhir berkhidmat sebelum Utusan Melayu (M) Berhad ditutup.

Related Articles

Back to top button