fbpx
Ekonomi

K’jaan bertindak ke atas majikan tidak salur subsidi upah – Zafrul

Kerajaan ada menerima maklumat terdapat majikan yang tidak menyalurkan subsidi upah kepada pekerja mereka dan ini telah melanggar syarat-syarat, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata bantuan rangsangan ekonomi tidak seharusnya disalah guna malah majikan perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak mengambil kesempatan serta menganiaya pekerja mereka.

“Saya ingin mengingatkan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terhadap majikan-majikan ini,” katanya ketika membentangkan Laporan ke-10 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Program Subsidi Upah (PSU) merupakan bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

Tujuan PSU ialah membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat Covid-19 supaya dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan.


Tengku Zafrul berkata sehingga 19 Jun, sebanyak RM4.89 bilion telah diluluskan bagi 303,596 majikan yang memberi manfaat kepada lebih 2.40 juta pekerja di bawah program tersebut.

“Saya mengingatkan sekali lagi bahawa dengan penyelarasan Program Subsidi Upah di bawah PENJANA, majikan boleh mula membuat permohonan untuk program Subsidi Upah yang telah ditambah baik mulai 15 Jun (iaitu minggu lepas),” katanya.BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button