Politik

KJ risau belum ada kawasan bertanding pada PRU15

KHIARY Jamaluddin (KJ) mengakui bimbang beliau masih belum ada kawasan yang akan ditandingi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, kerisauan mengenai kelangsungan kerjaya politiknya melebihi kebimbangan Jemaah Menteri mengenai sama ada PRU15 akan diadakan pada tahun ini atau sebaliknya.

“Kebimbangan saya sekarang ini adalah tiada lagi kawasan untuk bertanding (pada PRU15),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Perubatan Dermatologi dan Estetik Asia di Kuala Lumpur, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam mengulas kebimbangan yang dikatakan dibangkitkan Jemaah Menteri pada mesyuarat Rabu lalu berhubung PRU15.

Antara kebimbangan yang dibangkitkan termasuk musim banjir, selain mempertimbangkan keputusan enam negeri yang tidak setuju untuk membubarkan DUN jika Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.

Awal bulan ini, Khairy mengesahkan beliau tidak akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Rembau selepas diarah mengosongkannya oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan, yang mahu bertanding di kerusi itu.

Mohamad yang juga timbalan presiden Umno dan pengarah pilihan raya BN kemudiannya mengesahkan beliau akan bertanding kerusi Parlimen pada PRU15, namun tidak menyatakan sama ada di Rembau atau di lokasi lain.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, kedudukan calon dan kerusi bagi BN mahupun Umno belum dimuktamadkan dan kenyataannya berkaitan Rembau sebelum ini hanya mengenai soal kesiapsiagaan jentera parti.

Membalas kenyataan itu, Khairy menegaskan pendedahannya benar dan beliau akan menyelesaikan isu itu secara tertutup. – FMT – SM

(Visited 297 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button