Politik

Kerajaan negeri DAP, UMNO di Perak: Kami sudah bersedia – Kor Ming

PARTI DAP sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan negeri Perak yang baharu.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, demi kepentingan terbaik rakyat DAP Perak bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

Di Twitternya, Kor Ming menegaskan kerjasama itu demi kepentingan rakyat dan demi membentuk kerajaan negeri yang berbilang kaum dan stabil.

“Untuk kepentingan rakyat, DAP Perak bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang dapat membantu Perak untuk membentuk kerajaan yang berbilang kaum, kuat dan stabil untuk mengatasi krisis politik.

“Saya bersedia untuk terlibat dalam perbincangan yang tulus dan membina. Kami sudah bersedia,” ciap Kor Ming di Twitternya.

Kor Ming berkata, Perak memerlukan pentabiran kerajaan negeri yang bersifat berbilang kaum dan bersih.

Menurut Ahli Parlimen Teluk Intan itu dia sudah bersedia untuk menjalinkan kerjasama tersebut.

“Memandangkan krisis politik semasa, Perak memerlukan pemerintahan berbilang kaum, bersih, kuat dan stabil berdasarkan prinsip integriti dan pemerintahan yang baik.

“Saya bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang berkongsi visi ini. Adakah anda sudah bersedia?” tanya Kor Ming.

Media hari ini melaporkan pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu menemui jalan buntuk selepas tiada mana-mana parti atau calon memiliki majoriti mudah untuk mentabir Perak.

Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada Barisan Nasional 25, Bersatu 5, Pas 3, DAP 16, PKR 3, Amanah 5, Gerakan 1 dan Bebas 1.

Jumaat lalu Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Bharu (BN) Abdul Manaf Hashim mengusulkan undi percaya terhadap Datuk Seri Ahmad Faizal Uzumu selaku Menteri Besar Perak. Usul itu disokong ADUN Kenering (BN) Mohd Tarmizi Idris.

Pengundian menyaksikan Sebanyak 48 undi tidak menyokong usul berkenaan termasuk oleh Abdul Manaf dan Mohd. Tarmizi. Hanya 10 ADUN yang menyokong manakala terdapat satu undi rosak atau berkecuali.

Keputusan itu menyebabkan Ahmad Faizal hilang kelayakan untuk menjadi menteri besar dan beliau dilaporkan telah meletakkan jawatan semalam.-SM

(Visited 601 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button