Ekonomi

Dunia perlu US$3.7 trilion untuk tangani kemelesetan ekonomi

EKONOMI global memerlukan satu pakej rangsangan bernilai US$3.7 trilion untuk kembali ke landasan pertumbuhan memandangkan ia kini mengharungi tempoh yang mencabar dan tidak menentu, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global, Shan Saeed berkata pada awal tahun ini, IQI memberitahu pelanggannya bahawa kestabilan makroekonomi mendapat lebih perhatian di banyak negara, khususnya dalam kalangan negara maju.

Berkongsi pandangannya mengenai bagaimana ekonomi makro global dapat keluar daripada tempoh kelembapan pada masa ini ketika temubual eksklusif dengan Bernama TV pada Rabu, Shan berkata, setakat ini, sebanyak 17 negara telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah US$57 bilion untuk mendorong pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata jumlah tersebut amat kecil dan tidak ketara dan menurutnya ekonomi global memerlukan amaun yang lebih besar untuk menangkis kemelesetan.

Shan menyifatkan bahawa peranan dasar fiskal dan monetari menjadi amat strategik dalam mengharungi keadaan yang tidak stabil ini.

“Kesemua ekonomi mempunyai penggalak dasar yang serupa untuk mendorong pertumbuhan, bergantung kepada kestabilan makroekonomi dan cabaran.

“Dasar monetari merupakan domain bank pusat manakala dasar fiskal kekal di bawah bidang kuasa kerajaan,” katanya.

Shan yang mempunyai lebih 19 tahun pengalaman dalam pasaran kewangan yang kukuh membabitkan perbankan swasta, pengurusan risiko/pematuhan, pelaburan komoditi, ekonomi global, jenama dan strategi perniagaan berkata, sejak 12 tahun lepas, bank pusat menggalas tanggung jawab sepenuhnya dalam menyampaikan matlamat ekonomi.

“Pelabur bukannya tidak mempunyai pilihan. Namun, mahu bank pusat di negara-negara maju memainkan peranan penting. Bank pusat di negara-negara maju seperti Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) (Fed), European Central Bank (ECB), Bank of Japan (BoJ) dan Bank of England (BoE) telah menggunakan penurunan kuantitatif (QE) untuk merangsang pertumbuhan, namun, terbukti telah gagal,” katanya.

QE melibatkan kadar pertumbuhan di masa depan yang sebaliknya memberi bebanan kepada  pelanggan, katanya.

“Menurut laporan risikan pasaran Juwai IQI, ekonomi global memerlukan $3.7 trilion untuk kembali mencatat semula trajektori pertumbuhan. Kami telah melakukan perkiraan iaitu AS ($800 bilion), China ($700 bilion), Eropah ($400 bilion), Jepun ($200 bilion), United Kingdom ($300 bilion), Asia Pasifik  ($300 bilion), Australia ($100 bilion), Afrika ($300 bilion), Amerika Selatan ($300 bilion) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ($200 bilion),” katanya memetik sumber risikan pasaran IQI Strategic, Economist, Financial Times, Wall Street Journal, laporan negara dan CNBC.

Menurut Shan, kerajaan mempunyai peranan penting untuk memulihkan kembali keyakinan dalam landskap ekonomi.

“Pada pandangan saya, pasaran terpaksa cuba bertahan dengan kesannya terpaksa ditanggung oleh pelabur.

“Pelabur kerugian US$15.7 trilion bagi pasaran ekuiti dalam 67 hari pertama ini. Pelabur terpaksa mengelak dengan beralih kepada aset bon di mana hasilnya adalah rendah,” katanya.

Beliau berkata bon kedaulatan global bernilai US$17.3 trilion adalah rendah, meningkat daripada US$10.3 trilion pada 2016.

“Apa yang perlu adalah untuk bank pusat dan kerajaan menjalin kerjasama untuk membawa kestabilan makroekonomi kepada sistem itu.

“Selalunya kestabilan ekonomi memacu pertumbuhan ekonomi dan keyakinan dalam landskap negara.

“Peranan kerajaan dan bank pusat telah menjadi sangat penting. Pada akhirnya, permintaan/ penggunaan agregat yang kukuh memacu kalkulus Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya. – BERNAMA

(Visited 190 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button