Nasional

Kita bukan raja, jangan nak ajar Agong, Zaid beritahu Thomas

ZAID IBRAHIM mengecam bekas peguam negara Tommy Thomas kerana komen terakhirnya mengenai kuasa pengampunan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

“Janganlah kita membuat ‘precedent’ (duluan) bahawa Tuanku merasa tertekan atau dibuat rasa bersalah kerana unsur-unsur yang dibangkitkan oleh peguam yang karut, unsur-unsur politik yang karut,” kata Zaid dalam video yang disiarkan di Facebook.

“Kita harus memelihara kesucian hak prerogatif belas kasihan yang tinggi pada Raja-raja kita dalam pemerintah kita. Kita mesti pertahankan prinsip ini. Kita jangan sekali menggadai hak Raja-raja melayu untuk membuat pengampunan.

Dalam wawancara disiarkan oleh MalaysiaKini, Thomas mencadangkan, bawah Perlembagaan Persekutuan, Agong tidak diberi kuasa untuk mempertimbangkan pengampunan tanpa nasihat Lembaga Pengampunan.

Thomas juga telah mendakwa bahawa pengampunan untuk Najib adalah “mustahil” atas “sebab undang-undang”.


“Keseluruhan idea pengampunan adalah bahawa banduan mesti menunjukkan bukti, oleh itu anda perlu menjalani hukuman penjara selama tiga atau empat tahun untuk menunjukkan bahawa anda telah berubah. Anda perlu membuka lembaran baru dan tidak akan terlibat lagi dengan jenayah,” kata Thomas.

Dalam jawapan langsung yang ditujukan kepada Thomas, Zaid menjelaskan bahawa kuasa pengampunan yang diberikan kepada Agong dan Raja-raja Melayu oleh Perlembagaan Persekutuan adalah satu yang diterima secara universal, iaitu, “hak prerogatif belas kasihan yang tinggi.”

“Kuasa Yang di-Pertuan Agong yang diberikan oleh perlembagaan ini bukan tertakluk kepada keputusan mahkamah, berapa lama kes itu berjalan, tidak tertakluk kepada pandangan saudara dan saya, tidak tertakluk kepada pendapat ramai.

“Ia tertakluk kepada rasa pandangan peribadi Yang di-Pertuan Agong,” kata Zaid.

Katanya, Agong tidak menjadi hakim apabila melaksanakan hak prerogatif baginda.

“Baginda tidak perlu meneliti kes itu dari segi perundangan,” kata peguam kanan itu. “Kalaulah baginda kena ikut kes-kes mahkamah untuk membuat keputusan, maka tak perlulah kuasa ini. Tak perlulah ‘high prerogative of mercy’. Mansuhkanlah saja.”

“Baginda perlu mengkaji semua aspek keadilan sebelum membuat keputusan. Apakah kepincangan sudah berlaku dalam sistem kita, apakah ada sebab-sebab tertentu yang perlu digunakan pengampunan baginda. Itu sahaja,” kata Zaid

Bekas menteri undang-undang itu turut menjelaskan bahawa peranan Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bawah perlembagaan adalah untuk menasihati Agong “jika Baginda memerlukan nasihat.”

“Tapi kuasa untuk mengampun itu tak perlu nasihat Lembaga Pengampunan. Kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong ini tidak boleh disoalkan, tidak boleh dipertikaikan. Ini telah ditetapkan 25 tahun dahulu. (Ia) ‘non-justiciable’ (tak boleh diadili),” kata Zaid sambil menambah ia telah lama ditetapkan di mahkamah, dengan memetik kes Sim Kie Chon (1985) dan Mona Fandey (2002).

Peguam kanan itu berkata kuasa untuk mengampun adalah peribadi dan tertakluk kepada budi bicara mutlak Agong.

“Kita tak boleh nak mengajarnya (Agong). Kita bukan raja. Kita tak boleh memberi pandangan yang seolah-olah menekannya,” katanya.

Katanya, keputusan untuk membuat pengampunan bukan untuk mencari populariti atau mencari apa-apa keuntungan tetapi mestilah dilaksanakan dengan ikhlas berdasarkan kebijaksanaan baginda.

“Saya percaya kepada kebijaksanaan dan kemampuan Tuanku dan Raja-raja Melayu,” kata Zaid. – SM

 

(Visited 122 times, 3 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button