Parlimen

Minta Kedah pelihara hutan tapi PP tidak warta kawasan tadahan hujan

KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow disindir kerana masih belum lagi mewartakan kawasan tadahan hujan di negeri itu.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendedahkan perkara itu selepas Kon Yoew yang merupakan Ahli Parlimen Tanjung meminta Kedah untuk tidak mengusik kawasan tadahan air di Lembangan Sungai Muda.

“Mengikut data Sumber Bahagian Pengurusan Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Pulau Pinang dicadangkan mewartakan 3398.94 hektar sebagai kawasan tadahan air. Hingga kini Pulau Pinang masih belum wartakan sikit pun. Masih kosong,” kata Tuan Ibrahim di Dewan Rakyat.

Jelas beliau Kedah sebaliknya telah mewartakan 110,000 hektar atau 100 peratus kawasan tadahan air seperti yang dicadangkan.

Turut telah mewartakan 100 peratus kawasan tadahan air yang dicadangkan termasuk Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Selangor dan Terengganu manakala Johor 99.4 peratus.

Tuan Ibrahim turut menggesa Pulau Pinang untuk bersama-sama meneroka sumber air alternatif seperti air pulih guna daripada pembentungan.

Kementerian mensasarkan Pulau Pinang mengguna 1,500 juta liter air pulih guna dari kumbahan menjelang 2030 untuk kegunaan industri di negeri itu.

Pulau Pinang juga digesa meneroka kawasan sumber-sumber air bawah tanah dalam usaha mengurangkan pergantungan terhadap sumber sedia ada

Kon Yeow dalam soalan tambahannya di Dewan Rakyat bertanya sama ada 25,000 hentar tanah yang akan mengantikan kawasan pembalakan yang diluluskan sebelum ini turut terletak dalam kawasan Hulu Muda.

Tuan Ibrahim berkata, syarikat pembalakan terbabit telah menuntut pampasan RM1.2 bilion atau RM40,000 bagi setiap hektar kawasan yang diluluskan sebelum ini dan kerajaan negeri sedang mengadakan rundingan

“Persoalannya bagaimanakah untuk mendapat pengantian dalam bentuk kewangan. Ini sedang dirunding oleh Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat,” kata Tuan Ibrahim.

Lembangan Sungai Muda seluas 4,151 kilometer persegi. Di bawah pengurusan Kerajaan Negeri Kedah sebanyak 98.68 peratus atau 4,006 kilometer persegi.

Sementara Pulau Pinang menguruskan 1.32 peratus atau 55 kilometer persegi kawasan ang menjadi sumber bekalan air utama di negeri itu.

Hubungan Pulau Pinang dan Kedah tegang apabila negeri itu menggesa Kedah untuk tidak melakukan perlombongan atau pembalakan di lembangan tersebut kerana khuatir akan mencemarkan sumber air ke negeri itu.

Kedah pula menggesa Pulau Pinang untuk membayar kos kepada negeri itu berikutan pengorbanan ekonomi yang dilakukan Kedah.-SM

 

(Visited 317 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button