Politik

Kit Siang sifatkan darurat hasil politik ‘udang di sebalik batu’

PENASIHAT DAP Lim Kit Siang menyifatkan proklamasi darurat yang berkuatkuasa sehingga 1 Ogos sebagai politik ‘udang di sebalik batu’ yang perlu ditamatkan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berpandangan, proklamasi darurat tersebut sebagai satu muslihat politik kerana dilakukan secara mengejut yang hanya diketahui oleh anggota Kabinet.

“Proklamasi darurat semalam adalah hasil daripada politik ‘udang di sebalik batu’ memandangkan perkara ini datang sebagai satu kejutan untuk seluruh negara dengan hanya Menteri Kabinet yang mengetahuinya.

“Terutamanya selepas perutusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan di lapan buah negeri dan wilayah, PKP bersyarat di enam buah negeri, dan penyambungan PKP pemulihan di dua negeri.

“Jika tujuan darurat ini semata-mata hanya untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 dan menyatukan semua ahli politik, pemimpin persatuan sivil, badan keagamaan, persatuan belia, dan semua rakyat Malaysia di sebalik misi ini, tidak ada sebarang keperluan untuk membuat perkara mengejut seperti ini di mana seluruh negara dikejutkan dengan proklamasi darurat,” kata Kit Siang.

Beliau menyatakan keperluan untuk perbincangan dengan semua pihak termasuk perbahasan melalui persidangan khas Parlimen untuk menentukan sama ada darurat adalah cara terbaik untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 di Malaysia.

Perdana Menteri menurut Kit Siang, perlu membenarkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di seluruh negara untuk berfungsi dan memimpin usaha melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat’ dalam perang melawan Covid-19

Perkara itu perlu, sekiranya Perdana Menteri serius dengan janji bahawa darurat tidak akan merendahkan komitmen kerajaan terhadap pentadbiran yang baik,

“Semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, mahupun politik, perlu bersatu sebagai rakyat Malaysia untuk menyelesaikan masalah besar yang dibawa oleh Covid-19, tanpa sebarang politik “udang di sebalik batu” mahupun politik toksik perkauman, keagamaan, penipuan, fitnah, dan berita palsu,” katanya.

Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos berikutan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi setiap hari.

Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.-SM

(Visited 353 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button