Politik

Kit Siang persoal mengapa Ahmad Zahid sokong PN

AHLI Parlimen DAP Lim Kit Siang mempersoalkan langkah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional.

Kit Siang yang merupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, dengan sokongan Ahmad Zahid terhadap Kerajaan Perikatan Nasional bermakna ‘Game Of Thrones’ di Malaysia telah terhenti

“Kejadian-kejadian dalam tempoh minggu lepas telah mengesahkan apa yang telah saya katakan pada hari Khamis lalu, yang negara kita berada dalam ketidaktentuan politik, dengan plot, subplot, dan tindak balas yang muncul mengenai bentuk dan rupa kerajaan Malaysia – memandangkan kerajaan pintu belakang Muhyiddin yang muncul daripada konspirasi Langkah Sheraton ini tidak mempunyai keabsahan, kebolehan, dan sumber untuk menjadi sebuah kerajaan yang berkesan.

“Tetapi, secara tiba-tiba, dengan kenyataan daripada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi semalam, yang menegaskan semula sokongan UMNO terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional, Game of Thrones (Satu siri televisyen fantasi politik yang popular) Malaysia ini telah terhenti,” kata Kit Siang.

Semalam Ahmad Zahid mengumumkan UMNO mengambil pendirian mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memberi tumpuan terhadap agenda membantu rakyat dan negara berdepan pandemik COVID-19 serta kegawatan ekonomi.

Ahmad Zahid, berkata UMNO turut melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

Beliau turut menegaskan kerjasama semua parti dalam kerajaan PN harus diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik di saat negara menghadapi ancaman COVID-19 dan ketidakstabilan ekonomi negara.

“Bandingkan kenyataan Zahid pada 23 September yang mengatakan ramai ahli Parlimen UMNO dan BN telah menyatakan sokongan mereka kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk membentuk sebuah kerajaan baharu dan beliau menghormati keputusan mereka ini dengan kenyataan beliau semalam yang menyeru kepada satu “gencatan senjata” politik supaya mengekangan penularan wabak Covid-19 dan impak ekonominya terhadap rakyat dapat diberikan keutamaan.

“Mengapakah Zahid telah tunduk sepenuhnya sebegitu pantas sekali, hanya selepas 30 hari Game of Thrones Malaysia, di mana buat pertama kalinya, rakyat Malaysia dapat melihat pelbagai plot dan subplot serta tindak balas yang rumit?” soal Kit Siang.

Penasihat DAP itu turut membuat spekulasi kononnya Ahmad Zahid bertukar haluan kerana UMNO tidak mendapat sokongan Pas sekiranya mereka meneruskan ‘Game of Thrones’

“Mungkin pimpinan UMNO telah mendapati yang mereka tidak akan mendapat sokongan daripada PAS dalam Game of Thrones ini, dan jika perkara ini berlaku, mereka tidak boleh menjangka sokongan PAS mahupun blok Parlimen UMNO untuk bersatu teguh menyokong apa-apa sahaja keputusan Zahid dan Najib Razak secara membuta tuli.

“Ataupun, adakah plot, subplot, dan tindak balas yang rumit ini hanya akan bertambah besar dan rumit?” kata Kit Siang membuat andaian.-SM

 

(Visited 366 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button