Politik

Kit Siang! Pakatan Harapan tak tumbang jika janji Anwar PM ke-8 tidak dimungkiri

KOMENTAR

SATU punca sahaja tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) Februari lalu – kegagalan Tun Dr Mahathir Mohamad mengotakan janjinya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kelapan (PM ke-8) kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika janji yang berulang kali diluahkan oleh Pengerusi PH dan Parti BERSATU itu tidak dimungkiri, nescaya kerajaan PH masih tertegak sehingga hari ini.

Dan tidaklah sehingga Penasihat DAP, Lim Kit Siang terpaksa bertaruh hal itu pula dengan Datuk Seri Mohamad Hasan manakala Dr Mahathir sendiri dikatakan tersungkur akibat `tulah’ janji-janji manis yang ditaburnya kepada presiden PKR tersebut.

Sepatutnya Kit Siang yang mengetuai parti kedua terbesar kerusi Parlimen (42 kerusi) selepas PKR (50) pada masa PH berkuasa, berusaha keras meyakinkan Dr Mahathir supaya menyerahkan tampuk kuasa kepada Anwar.

Tapi sayangnya supremo DAP itu sekadar membuat `taruhan’ dan kemudian berdolak dalik pula menyalahkan ‘langkah Sheraton’ sebagai punca mega peralihan kepimpinan kerajaan dari PH kepada Perikatan Nasional (PN).

“Apabila memasuki Dewan Rakyat 18 Mei ini, tidakkah suatu yang pelik dengan situasi Anwar sebagai Ketua Pembangkang memandang Dr Mahathir di sebelahnya yang telah mengkhianati janji berhubung PM ke-8.

“Itu sebabnya ada seorang veteran politik percaya Dr Mahathir pasti akan berasa malu alah sekiranya masih terus bersekongkol dengan PKR dan DAP,” kata sumber kepada SUARA MERDEKA hari ini.

Walaupun `nasi sudah jadi bubur’, Kit Siang yang kini mengetuai parti terbesar dari jumlah kerusi Parlimen mengatasi PKR sepatutnya bertanya Dr Mahathir untuk merungkai sebab mengapa beliau enggan menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Tidakkah Penasihat DAP itu berasa pelik kerana bukan sekali PM ke-7 itu menjanjikan Anwar akan menggantikannya.

Bahkan, masuk kali ketiga pertemuan empat mata Anwar dengan negarawan terbilang itu, walaupun sebahagian besar pemimpin dalam PH maklum akan `janji-janji manis’ kepada ketua pembangkang baharu itu.

Anwar dalam isu PM ke-8 bagaimanapun tidak boleh diperlecehkan. Beliau juga insan biasa yang ada hati dan perasaan – setia dan berpegang kepada janji bab PM ke-8 itu.

Apa yang penting pada Anwar waktu itu ialah tiada pihak yang mempertikai tentang proses peralihan kuasa akan berlaku antara beliau dengan Dr Mahathir.

Dan sehinggalah tanggal 24 Februari lalu, Anwar terpaksa berpijak di bumi nyata apabila Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan kurang seminggu kemudian, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah PM ke-8 (1 Mac 2020).

Barangkali jaki dengan `cacing naik ke mata’, ditambah sebilangan kecil wakil rakyat Bersatu sahaja akan menyertai Dr Mahathir, masakan Anwar mahu terjatuh lagi dalam lubang yang sama.

Apatah lagi, mengenangkan pada malam kemenangan PH pada 9 Mei 2018 itu, kalau nak beria-ia mengisi jawatan PM-7 pun, orang itu tentunya tidak lain tidak bukan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar. Bukannya Dr Mahathir, yang mengetuai parti kecil, BERSATU.

Wan Azizah sendiri sebenarnya memiliki ruang dan peluang besar untuk ‘hijack’ jawatan nombor satu pada malam itu setelah Barisan Nasional (BN) tumbang.

Meskipun simbol PKR digunakan semua parti dalam PH pada PRU-14, Wan Azizah tetap menolak tawaran itu kerana berpegang kepada janji bahawa Dr Mahathir akan menjadi Perdana Menteri.

Dan apabila beliau merujuk kepada Anwar pun, Anwar juga bertegas mengarahkan Wan Azizah berpegang pada keputusan awal beri laluan pada Dr Mahathir.

Begitulah pengorbanan Anwar dan isteri yang tidak ada tolok bandingnya.

Apa lagi Kit Siang, tanyalah Dr Mahathir mengapa beliau bertindak sedemikian rupa pada Anwar. – SM

(Visited 432 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button