Berita

Manipulasi harga motosikal, aniaya pembeli – Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kebimbangan beliau berkenaan wujudnya manipulasi dalam penjualan motosikal oleh segelintir pemilik kedai yang dilihat menganiayai pembeli.

Katanya, ini kerana ada dakwaan yang mengatakan bahawa jika mahu membeli secara tunai pelbagai alasan akan diberikan oleh pemilik kedai antaranya ketiadaan stok di pasaran.

“Namun apabila mahu membeli secara pinjaman ia akan dipercepat selain pembeli akan mendapat banyak kelebihan.

“Sebagai contoh motosikal ‘panas’ yang mendapat permintaan tinggi adalah Yamaha Y16, Yamaha NMAX dan banyak lagi. Ketika pembeli menghubungi kedai dan bertanyakan mengenai stok, pemilik kedai akan bertanya sama ada mahu beli secara tunai atau pinjaman.

“Jika secara tunai, jawapan yang diterima adalah perlu menunggu lama. Jika secara pinjaman pembeli memerlukan sedikit masa untuk menunggu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Presiden UMNO itu berkata, keadaan ini terjadi kerana berlakunya manipulasi dalam penjualan kerana peniaga dikatakan mahu mengaut keuntungan lebih berdasarkan kadar faedah sehingga 10 peratus.

“Inilah sistem manipulasi yang dilakukan sedangkan penjualan secara tunai atau pinjaman, peniaga tetap memperoleh keuntungan. Sistem ini perlu diperbetul dan diberi perhatian oleh kerajaan.

“Niat asal mahu membeli tunai terpaksa ditukar pada pinjaman kerana mahukan motosikal secara cepat,” ujar beliau.

Katanya sekiranya perkara ini dibiarkan ianya akan mendatangkan kesan yang lebih buruk kepada golongan muda termasuk terpaksa berdepan dengan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).

“Mereka akan diheret ke kancah hutang dan berdepan tambahan kadar faedah jika lambat membayar. Mereka juga berdepan risiko disenarai hitam serta CCRIS,” katanya.

Jelas Ahmad Zahid lagi, pada masa sama wujud dakwaan mengatakan model motosikal yang sama dijual pada harga berbeza oleh kedai yang berbeza.

“Ada yang dijual pada harga RM11,000, RM12,000 dan RM13,000. Kenapa tidak selaraskan harga oleh pengeluar?

“Oleh yang demikian saya menggesa pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna segera menangani masalah ini.

“Kita juga berharap Persatuan Pengguna Islam Malaysia boleh membantu,” tegasnya.

(Visited 458 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button