Sukan

Lewis Hamilton bakal sertai Ferrari pada musim 2025

JUARA tujuh kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton bakal meninggalkan pasukannya, Mercedes pada penghujung musim ini untuk menyertai Ferrari.

Perkembangan itu boleh dikatakan sedikit mengejutkan kerana pelumba kelahiran Stevenage, England itu baharu sahaja menandatangani kontrak lanjutan selama dua musim pada 31 Ogos tahun lalu.

Ini bermakna Hamilton akan meninggalkan pasukan yang diwakilinya sejak 2013 itu setahun lebih awal.

Menurut sumber laporan Sky Sports, beliau akan menyertai Ferrari bagi menghadapi musim 2025 dengan menggantikan pelumba kedua dari Sepanyol, Carlos Sainz.

Sehubungan dengan itu, Hamilton akan bergandingan bersama Charles Leclerc yang sudah menandatangi kontrak baharu sehingga 2029 bersama pasukan berpangkalan di Maranello, Itali tersebut.

Seperti diketahui oleh para peminat sukan permotoran ini, Lewis Hamilton merupakan pemandu paling berjaya dalam sejarah F1 dengan 103 kemenangan dan 104 kali menghuni petak pertama (pole position) perlumbaan.

Daripada tujuh juara keseluruhan yang dimenangi sepanjang karier beliau, enam daripadanya sewaktu Hamilton memandu jentera Mercedes.

Namun pada ketika ini beliau tidak berada di prestasi terbaik kerana kemarau kemenangan perlumbaan sejak Disember 2021 tetapi masih mampu menamatkan musim 2022 dikedudukan keenam dengan 260 mata.

Manakala pada musim lalu, beliau mengakhiri saingan ditempat ketiga keseluruhan dengan 243 mata, dibelakang Max Verstappen dan Sergio Perez dari Red Bull Racing Honda RBPT.

Meskipun masih belum ada pengumuman rasmi daripada mana-mana pihak tetapi wakil Sky Sports mendedahkan kakitangan Mercedes telah dipanggil ke mesyuarat di Brackley untuk dimaklumkan mengenai keputusan ini. – SM

Artikel berkaitan > Kerusi bekas punggung Lewis Hamilton terjual!

(Visited 73 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button