NasionalParlimenPendidikan

Radzi sangkal tuduhan Ahli Parlimen Klang dianaktirikan

Ganabatirau mendakwa Klang dianaktirikan oleh kerajaan terdahulu

TIDAK diberikan ruang untuk menjawab dakwaan Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau A/L Veraman semasa perbahasan di Dewan rakyat semalam yang menyentuh berkaitan kawasan Klang tidak diberi perhatian oleh kerajaan terdahulu, bekas Menteri Pendidikan (KPM) Datuk Dr Radzi Jidin terpanggil untuk memberi pencerahan hari ini.

Sebagai seorang Menteri Kanan Pendidikan terdahulu, Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi cuba untuk mencelah untuk memberikan penjelasan pada sesi Dewan Rakyat namun tidak diberikan ruang semalam.

“Tuduhan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Klang bahawa kawasan tersebut dianaktirikan adalah tidak benar, khususnya sewaktu saya di KPM,” tegas Radzi yang juga merupakan Naib Presiden Bersatu.

Untuk makluman YB Klang, kata Radzi lagi, ketika beliau di KPM antara sekolah yang lulus di RP1-RMK12 dan RP2-RMK12 di Klang adalah seperti berikut:

“SMK Kota Kemuning (2), Klang – pembinaan baharu 42 bilik darjah.

“SK Bukit Raja, Klang – pembinaan baharu 36 bilik darjah.

“SMK Meru (2), Klang – pembinaan baharu 42 bilik darjah,” jelas beliau.

Tambah Radzi lagi, selain itu terdapat dua projek pembinaan bangunan baharu iaitu di SK Pulau Indah, Klang – bangunan baharu 12 bilik darjah dan dewan terbuka.

Satu lagi projek yang dirujuk oleh Radzi ialah projek SMK Meru, Klang – bangunan baharu yang mengandungi 8 bilik darjah PPKI dan kemudahan lain.

“Perancangan untuk projek-projek penbinaan sekolah baharu sememangnya mengikut satu proses yang telus dan mengambil kira kepadatan penduduk di satu-satu kawasan.

“Tidak timbul isu menganaktirikan siapa-siapa. Saya percaya proses yang sama akan diteruskan oleh KPM pada masa akan datang,” ujar Radzi.

Semestinya YB Klang boleh berfikir secara logik, apabila berlaku perubahan dalam pentadbiran kerajaan, maka individu yang dilantik untuk menerajui kementerian-kementerian turut berubah.

Tidak semestinya individu berkenaan yang menerajui kementerian-kementerian terdahulu, dilantik semula oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, apa-apa projek yang disarankan semasa kerajaan terdahulu, jika dirasakan memberi manfaat kepada rakyat, boleh diteruskan seperti mana yang dirangka oleh Radzi ketika beliau sebagai Menteri Pendidikan. – SM

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button