Hiburan

Kisah kematian tragis ‘Amir’ ditangisi, Aznil buat kempen #KelabJiranAmir

SEMALAM tular di laman sosial berkenaan dengan kematian seorang kanak-kanak bernama Amir yang dipercayai maut akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya.

Paling tersentuh dengan kematian arwah Amir atau nama sebenarnya Zubaidi Amir Qusyairi, 7, ialah ibu bapa angkatnya.

Ibu bapa angkat itu menjaga arwah selama enam tahun dan siapa menduga akhirnya kanak-kanak itu maut dipercayai kerana didera.

Turut terkesan dengan kisah tersebut ialah selebriti tempatan antaranya penyampai radio, Haziq Hussni; pengacara, Datuk Aznil Nawawi; pelawak, Achey dan pelakon, Sherry Alhadad dan Alif Satar.

Selain melahirkan rasa sedih terhadap apa yang berlaku, Aznil turut tampil dengan kempen kesedaran untuk mengelakkan kanak-kanak didera.


Menurut Aznil, dia terpanggil untuk memulakan usaha bagi memberi kesedaran melibatkan kanak-kanak yang didera dan jiran-jiran perlu memain peranan utama.

“Selalunya kekejaman terhadap kanak-kanak berlaku di dalam rumah dan jauh daripada pandangan jiran.

“Tetapi pasti tangisan anak itu akan didengari oleh jiran. Jom kita mulakan #KelabJiranAmir. Kita jadi telinga pada penderaan anan-anak lain yang boleh kita selamatkan,” katanya.

Menurut Aznil lagi, sudah tiba masa untuk kesemua jiran bekerjasama untuk membanteras isu penderaan kanak-kanak di rumah

Jelasnya, nama #KelabJiranAmir itu juga dibuat supaya semua rakyat terus ingat dengan tragedi yang berlaku dan jangan sampai ianya berulang lagi.

Kempen yang dibuat Aznil itu turut mendapat perhatian netizen yang bersetuju bahawa jiran-jiran perlu memainkan peranan penting.

Menurut sebahagian komen daripada netizen, seharusnya jiran-jiran mengambil langkah awal untuk mengelak kejadian seperti ini berulang di masa hadapan. -SM

(Visited 1,087 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button