Hiburan

Kisah Kehilangan Anak Lorong ‘Hilang Kasyorga’ Akan Ditayangkan Di DEGUP Unifi TV

SYARIKAT produksi Country & Universal Sdn Bhd terus membuktikan komitmennya dalam menghasilkan naskhah bermutu menerusi penerbitan drama bersiri Hilang Kasyorga, yang bakal ditayangkan secara eksklusif di Unifi TV Originals.

Mengangkat genre kekeluargaan dan thriller suspens, drama enam episod ini akan menemui penonton mulai 23 Jun 2025 di saluran DEGUP (Saluran 120), Unifi TV, yang terkenal dengan sajian kandungan seram dan aksi tempatan serta antarabangsa. Pelanggan Unifi TV boleh menonton siri ini melalui Unifi TV Box atau aplikasi Unifi TV, termasuk fungsi ‘Catch Up’.

Plot Penuh Teka-Teki: Siapa di Sebalik Kehilangan Kasyorga?

Hilang Kasyorga mengisahkan tentang seorang anak lorong bernama Kasyorga (lakonan Adra Mikayla) yang secara tiba-tiba hilang ketika sedang bermain. Bapa angkatnya, Pak Bakar (Azhar Sulaiman) meminta bantuan jirannya, Rodi (Kamal Adli) — bekas pembunuh upahan — untuk menjejaki Kasyorga.

Dalam masa yang sama, Rodi turut menerima tugasan membunuh Datuk Zaza (Nabila Huda), ahli perniagaan wanita yang terpalit dengan skandal bersama pemandu dan pembantu peribadinya, Reza (Luqman Hafiz).

Kehilangan Kasyorga terus menimbulkan persoalan besar — adakah dia menjadi korban konspirasi politik Datuk Zaza? Atau mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang diketuai Ram (Arfie Shah)? Atau lebih menyeramkan, mangsa pedofil bersiri yang masih bebas di ibu kota?


Gabungan Pelakon Mantap & Lokasi Realistik

Diarahkan oleh sutradara berpengalaman, Feroz Kader, drama ini turut dibarisi pelakon berkaliber seperti Nabila Huda, Kamal Adli, Azhar Sulaiman, Arfie Shah, Hariz Hamdan, Hafidzuddin, Fadilah Mansor, Ellie Suriaty, Kodi Rashid dan Dina Allysha.

Menurut Feroz, kekuatan utama Hilang Kasyorga terletak pada pengisian emosi dan isu realiti sosial.

“Karya ini menyentuh isu pemerdagangan manusia, namun disampaikan dengan gaya penceritaan yang mendebarkan dan menghiburkan. Ia dekat dengan masyarakat, dan setiap watak membawa kekuatan tersendiri,” jelasnya.

Penggambaran dijalankan di lorong-lorong sekitar Chow Kit dan Bukit Bintang, menambah lagi unsur kelam dan realistik dalam naskhah ini.

Unifi TV Originals Terus Cipta Impak

Unifi TV Originals terus memperkukuh portfolio mereka dengan pelbagai karya berkualiti seperti Din Tiger arahan Datuk Afdlin Shauki, 11 Cinta Sebelum Kamu lakonan Fattah Amin & Liyana Jasmay, Alibi lakonan Hisyam Hamid & Nabila Huda, dan WOK arahan Eyra Rahman.

Jangan lepaskan tayangan perdana Hilang Kasyorga setiap Isnin, jam 11 malam, bermula 23 Jun 2025, hanya di DEGUP (Unifi TV Saluran 120) dan aplikasi Unifi TV.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button