Nasional

PKPB: Institusi pendidikan di Labuan ditutup

SEMUA institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan  Malaysia (KPM) di Wilayah Persekutuan Labuan ditutup mulai 17 sehingga 30 Okt ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sana.

KPM dalam kenyataan memaklumkan semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM itu termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, kolej vokasional dan kolej matrikulasi.

“Keputusan ini melibatkan sebanyak 31 institusi pendidikan dan sejumlah 19,262 murid dan pelajar. Ia juga melibatkan institusi pendidikan yang mempunyai asrama. Justeru, ibu bapa atau  penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama  itu untuk pulang.

Bagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama institusi pendidikan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, katanya keperluan makan dan minum murid serta pelajar sepanjang tempoh itu akan disediakan  oleh pihak institusi pendidikan.

Kenyataan itu turut memaklumkan pelajar yang masih berada di asrama Kolej Matrikulasi Labuan  dibenarkan untuk pulang tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang  ditetapkan negeri destinasi masing-masing.

Sementara itu, murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang dijadualkan hendaklah mendapatkan surat rasmi daripada sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

“Pembelajaran bagi murid dan pelajar sepanjang tempoh penutupan juga perlu diberi perhatian. Justeru, pentadbir institusi pendidikan diarah  untuk memastikan guru-guru dan pensyarah, serta murid dan pelajar  melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah,” katanya.

Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my – BERNAMA

(Visited 260 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button