Rencah Hidup

Kisah jurukamera BernamaTV ditembak di Somalia dinovelkan

TRAGEDI seorang jurukamera Bernama TV, Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor yang ditembak ketika melakukan liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) di Somalia satu dekad lalu begitu mengemparkan negara.

Mengambil inspirasi daripada kisah benar, wartawan Khairulanuar Yahaya yang ditugaskan bersama dengan Noramfaizul ketika kejadian membukukan peristiwa tersebut dalam bentuk novel bertajuk ‘Syurga Di Bawah Langit Somalia’.

Noramfaizul maut ditembak pada 2 September 2011 ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan di Somalia. Ketika kejadian terdapat lima anggota media termasuk Khairulanuar berada dalam satu kenderaan bersama-sama dengan Noramfaizul.

“Saya mula menulis peristiwa ini setahun selepas kejadian iaitu pada tahun 2012 selepas berpindah kerja ke Utusan Malaysia. Ketika itu saya menulisnya di blog. Saya selesai menulisnya pada tahun 2018. Pada waktu itu saya tidak terfikir untuk membukukan kisah ini.


“Bagaimanapun pada penghujung 2019 selepas saya dan rakan-rakan di Utusan Malaysia kehilangan kerja kerana syarikat ditutup saya mula berkongsi berberapa bab kisah ini di Facebook dan ramai yang inginkan sambungan bab seterusnya. Malah ada yang meminta saya membukukannya.

“Pada awal tahun ini, iaitu genap 10 tahun tragedi itu berlaku, tercetus hasrat untuk membukukannya setidak-tidaknya sebagai catatan kepada keluarga arwah Noramfaizul,” kata Khairulanuar.

‘Syurga Di Bawah Langit Somalia’ bermula dengan kisah kerjasama Noramfaizul dan Khairulanuar yang membuat liputan pemberian bantuan kemanusiaan KP1M di Gaza pada tahun 2010 selepas wilayah Palestin itu mengalami kemusnahan besar akibat dibom oleh tentera penjajah Isreal.

Novel yang mengandungi 30 bab tidak termasuk prolog dan epilog serta setebal 344 muka surat itu menceritakan secara terperinci kejadian yang berlaku di Somalia.

Buku tersebut turut memuatkan sejarah dan kekayaan budaya masyarakat Palestin dan Somalia yang mempunyai ketinggian tamadun, budaya dan seni yang tersendiri walaupun berada dalam keadaan tekanan penjajahan dan perang.

Sementara itu ibu Noramfaizul, Naemah Abd. Majid, 72 yang turut menerima naskah novel itu daripada penulis bersyukur kerana buku itu merupakan satu bentuk penghargaan kepada anak sulungnya.

“Mak cik bersyukur terbitnya buku ini macam kita menghargai perjuangan dia, pekerjaan dia, untuk negara.

“Alhamdullilah, mak cik bersyukur. Walaupun mak cik tak baca lagi, tengok gambar kulit buku pun mak cik dah suka sangat, tengok gambar macam dia hidup,” katanya.

Naemah berkata, walaupun peristiwa itu merupakan satu tragedi kepada satu-satunya anak lelaki daripada enam beradik namun ia tetap mempunyai hikmah yang tersendiri.

Melalui novel tersebut beliau sekeluarga memahami tugas anaknya sebagai seorang anggota media.

“Bagi rakan-rakan Faizul dan yang seperjuangan teruskanlah kerja, khidmat bakti. Ini pun satu jasa baik, budi baik, kerja macam ini banyak membantu, banyak mengenang, meghebahkan berita-berita yang baik boleh dikongsi bersama.

“Askar lain caranya, cikgu lain caranya. Media lain cara, tapi sebenarnya ini semua untuk masyarakat,” katanya.

Untuk dapatkan novel ini boleh Whatsapp penulis di O16-2984547 atau di Shopee -SM

 

 

 

 

(Visited 153 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button