Politik

Esok hari mengundi, SPR bagi garis panduan

SEBANYAK 1,021 Pusat Mengundi dan 4,638 Saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian dengan seramai 49,290 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 2,539,606 orang pengundi bakal mengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 esok.

“SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

Katanya, sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang ATAU waktu yang telah diwartakan.

“Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

“SPR juga ingin mengingatkan para majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRU Dewan Negeri Johor Ke-15 esok sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” ujarnya.

SPR kata Ikmalrudin, sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada malam ini iaitu sehingga  pukul 11.59 malam, 11 Mac 2022.

Tegas beliau, selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi.

“Mana-mana pihak TIDAK BOLEH merayu undi termasuklah di luar Pusat Mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,” jelasnya.

Ikmalrudin berkata, SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung semasa Hari Mengundi.

“Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini akan diambil tindakan undang-undang,” kata Ikmalrudin.

Sementara itu, prosedur operasi standard (SOP), pada hari mengundi, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka (face mask), menggunakan pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

“Pensanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi pada hari mengundi kelak.

“Pengundi perlu melalui penggunaan pensanitasi tangan di empat stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran, di dalam saluran (selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi) dan sebelum keluar dari pusat mengundi.

“Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan Garis Panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi,” jelas beliau lagi.

Kata Ikmalrudin , bagi pengundi yang bergejala akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.

Beliau berkata, pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

Manakala pengundi berstatus Patient Under Investigation (PUI) dan Person Under Surveillance (PUS) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran dari Pegawai Kesihatan Daerah (PKD), Pejabat Kesihatan Daerah yang mengawasi Arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian berkenaan untuk keluar sementara ke Pusat Mengundi, katanya.

Ujar Ikmalrudin, kebenaran ini adalah tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh Pegawai Kesihatan Daerah tersebut dan pengundi perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh KKM.

Memakai baju bersimbol parti atau berunsur kempen calon, kata Ikmalrudin, SPR sekali lagi menegaskan kepada semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki Pusat Mengundi pada Hari Mengundi tidak memakai baju / topi / pelitup separuh muka (facemask) atau membawa material yang mempunyai nama / simbol / gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi undang-undang boleh dihalang dari memasuki Pusat Mengundi dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya berbuat demikian.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam,” jelas beliau.

Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan, kata Ikmalrudin. – SM

(Visited 661 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button