Hiburan

Kisah Benar Jadi Inspirasi Filem Seram Misteri Fraser 1910

NAMA Louis James Fraser atau lebih dikenali sebagai Mr. Fraser, cukup sinonim dengan Bukit Fraser – sebuah pusat peranginan tanah tinggi yang terletak di daerah Raub, Pahang. Namun, di sebalik ketenangan dan keindahan alam semula jadinya, Bukit Fraser menyimpan sebuah kisah misteri yang telah terpendam sejak lebih seabad lalu.

Pada tahun 1910, Mr. Fraser – seorang peneroka dari Scotland yang dikatakan menemui lubuk bijih timah di kawasan itu – dilaporkan hilang secara misteri tanpa jejak. Kisah kehilangan beliau kekal menjadi tanda tanya dan terus menarik perhatian ramai hingga ke hari ini.

Terinspirasi dari misteri itu, Millionaire Film Production Sdn Bhd menerbitkan filem bertajuk Misteri Fraser 1910, yang merupakan naskhah sulung syarikat tersebut. Filem ini diterbitkan oleh Elani Aidid, yang berkongsi bagaimana idea penghasilan filem ini mula tercetus sewaktu beliau mengadakan tinjauan lokasi penggambaran untuk filem lain di Bukit Fraser pada tahun 2019.

“Ketika berada di situ, kami terbaca sejarah tentang kehilangan Mr. Fraser yang dikatakan lenyap selepas menemui kawasan perlombongan bijih timah. Malah, beberapa laluan mendaki di kawasan itu turut dinamakan sempena individu yang terlibat dalam pencarian beliau seperti Bishop Trail dan Abu Suradi Trail. Dari situlah tercetusnya idea untuk mengangkat kisah ini ke layar perak,” kata Elani ketika ditemui pada malam gala dan tayangan perdana filem Misteri Fraser 1910 di GSC Mid Valley.

Gabungan Fiksyen & Sejarah dalam Nuansa Klasik

Mengangkat kisah separa benar, filem ini membawakan watak Louis James Fraser yang dilakonkan oleh Josiah Hogan, dengan penceritaan yang menggabungkan unsur sejarah, misteri dan elemen supernatural. Turut membintangi filem ini ialah barisan pelakon terkenal seperti Siti Hariesa, Isyariana, Amai Kamarudin, Erry Putra dan ramai lagi.

Menurut Elani, sekitar 50 peratus jalan cerita filem ini adalah berdasarkan peristiwa sebenar manakala selebihnya difiksyenkan untuk elemen dramatik dan komersial. Skripnya turut dibangunkan dengan bimbingan panel skrip berpengalaman dari FINAS dan dibiayai menerusi Dana Perkembangan Skrip Filem.

“Kami mahu penonton merasai pengalaman seperti kembali ke era 1910. Selain elemen seram dan sejarah, filem ini turut menampilkan dialog dalam bahasa baku lama, kostum klasik, serta prop yang sesuai dengan era tersebut.”

Pengiktirafan Antarabangsa & Tayangan di Pawagam

Lebih membanggakan, Misteri Fraser 1910 telah meraih anugerah Best First Time Filmmaker di Lift-Off Global Network Sessions Vol. 4 yang berlangsung di Pinewood Studio, United Kingdom. Ia berjaya mengetepikan 26 penyertaan lain dari pelbagai negara dan mendapat undian tertinggi dari penonton antarabangsa.

“Setakat ini, kami telah menghantar sebanyak 32 penyertaan ke festival antarabangsa, dan salah satunya bakal berlangsung di Rusia pada September nanti. Banyak kategori kami sertai adalah berkaitan pembikin filem kali pertama,” jelas Elani lagi.

Sinopsis Ringkas: Misteri Yang Tidak Terjawab

Mengisahkan Louis James Fraser, seorang warga Scotland yang membuka kawasan Bukit Fraser pada tahun 1890 dan memperoleh kekayaan menerusi perlombongan bijih timah. Beliau membangunkan kawasan itu menjadi pusat elit dan sosial bagi tentera British.

Fraser kemudian melantik Asan, orang kepercayaannya, sebagai pengurus bersama isteri Asan, Wati, yang menetap di kuarters pekerja. Namun pada tahun 1910, Fraser hilang secara tiba-tiba dan banglonya ditinggalkan kosong tanpa khabar berita. Asan mengambil alih tanggungjawab mengurus perniagaan Fraser dan berpindah ke banglo tersebut, namun pelbagai kejadian aneh mula berlaku kepada Wati – termasuk dirasuk dan meracau – sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan.

Barisan Pelakon:

  • Josiah Hogan sebagai Louis James Fraser
  • Amai Kamarudin sebagai Asan
  • Isyariana sebagai Wati
  • Siti Hariesa sebagai Isyani
  • Erry Putra sebagai Insp. Khalid
  • Zulkifli Ismail, Datuk Rahim Razali, A. Galak, Babah Nadeen, Geoff Feyerts, Ted Moxham, Elani Aidid dan ramai lagi

Tayangan Perdana: 26 Jun 2025

Filem Misteri Fraser 1910 bakal menemui penonton di seluruh pawagam bermula 26 Jun 2025. Bagi penggemar genre misteri dan seram berlatarkan sejarah, ini adalah naskhah yang wajib ditonton.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button